NOR AINNA HAMZAH

KEADAAN sebuah kereta yang terbalik selepas mengelak konvoi motosikal dalam nahas di Kilometer 242, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di Rembau, petang semalam. – IHSAN PEMBACA
REMBAU – Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kereta Proton Saga dinaiki terbalik ke dalam longkang berpunca cuba mengelak konvoi motosikal yang dipercayai memasuki laluan secara mengejut di Kilometer 242, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu, mangsa lelaki berusia 75 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya berusia 70 tahun menghembuskan nafas terakhir ketika dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk mengesan kumpulan penunggang motosikal terbabit.
“Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Ooi Ming berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun bersama tiga penumpang dari Cheras, Kuala Lumpur menuju ke Port Dickson.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sekumpulan penunggang motosikal yang sedang berkonvoi dipercayai memotong dan memasuki laluan hadapan kereta berkenaan secara mengejut.
“Pemandu dipercayai cuba mengelak sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri lebuh raya.
“Akibat kejadian itu, penumpang belakang lelaki berusia 75 tahun maut, manakala isterinya yang berusia 70 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di HTJ kira-kira pukul 8 malam,” katanya.
Ooi Ming berkata, seorang penumpang wanita berusia 21 tahun yang duduk di bahagian hadapan mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Rembau, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan