MASZUREEN HADZMAN
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengintai seorang wanita di dalam tandas wanita di sebuah bangunan di Jalan Bukit Bintang, di sini, hari ini.
Suspek berusia 21 tahun itu ditahan selepas mangsa, seorang wanita berusia 37 tahun membuat laporan polis pada pukul 12.01 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, kejadian itu dikesan susulan penularan satu video berdurasi 24 saat menerusi media sosial Threads.
Katanya, video berkenaan memaparkan beberapa individu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perbuatan seorang lelaki yang dipercayai mengintai wanita di dalam tandas.
“Mangsa menyedari kehadiran seorang lelaki tidak dikenali yang mengintainya melalui ruang di bahagian atas tandas sebelum terkejut lalu menjerit meminta bantuan suaminya.
“Suspek direman selama tiga hari bermula 9 hingga 11 November ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Jelas beliau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan perbuatan jenayah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerusi talian 03-2600 2222 atau balai polis berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan