"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Sembunyi kelahiran, buang mayat bayi dalam longkang, pembantu kedai makan dipenjara 3 bulan, denda RM5,000

Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
NUR Ain Adilin Mohd Rofiza, 23, dipenjara tiga bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Berang, atas kesalahan menyembunyikan kelahiran. FOTO Nazdy Harun
NUR Ain Adilin Mohd Rofiza, 23, dipenjara tiga bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Berang, atas kesalahan menyembunyikan kelahiran. FOTO Nazdy Harun
Kuala Berang: Pembantu kedai makan dipenjara tiga bulan dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas dia mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran bayi dengan membuang mayat mangsa ke dalam longkang, awal bulan lalu.

Tertuduh, Nur Ain Adilin Mohd Rofiza, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim.

Nur Athirah turut memerintahkan wanita itu dipenjara lima bulan lagi, jika gagal membayar denda berkenaan.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran bayi dengan cara membuang mayat mangsa ke dalam longkang.

Kesalahan itu dilakukan di Perumahan Awam Kos Rendah Padang Setengge, di sini, kira-kira jam 10 malam, 15 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian disedari selepas polis menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memaklumkan penemuan mayat bayi di dalam longkang di perumahan berkenaan pada petang 16 Oktober lalu.

Susulan penemuan itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu menjalankan siasatan, sebelum menahan tertuduh di sebuah kios di tepi jalan besar Kampung Telaga, di sini, pada 17 Oktober.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh dipercayai sengaja menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi itu ke dalam longkang.

Mayat bayi berkenaan dibedah siasat, manakala sampel asid deoksiribonukleiknya (DNA) dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Aziah Bunawan.

Tiada ulasan: