"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Lelaki mental lari lintang-pukang tinggal rumah terbakar

ROHANA MOHD. NAWI
Nawi (kiri) menunjukkan rumah bapanya yang terbakar di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan dekat Kota Bharu hari ini. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!
KOTA BHARU – Seorang lelaki mental lari lintang-pukang menyelamatkan diri selepas melihat rumahnya di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini terbakar dalam kejadian pagi tadi.

Kebakaran kira-kira pukul 8 pagi itu dipercayai berpunca daripada abu rokok yang terkena longgokan sampah sarap dan pakaian di dalam bilik mangsa.

Abang mangsa, Nawi Ismail, 55, berkata, dia mengesyaki kejadian itu berlaku akibat api rokok yang masih menyala di dalam bilik adik bongsunya yang berusia 45 tahun.

Menurutnya, kebakaran disedari jiran yang melihat api mula marak dari bilik rumah berkenaan sebelum memaklumkan kepada kakaknya, Norma, 56, yang tinggal di rumah bersebelahan bersama ibu bapa mereka.

“Sebaik menerima panggilan telefon daripada kakak, saya terus bergegas ke lokasi kejadian. Ketika saya tiba di rumah adik, api sedang marak dan pasukan bomba sudah berada di situ untuk memadam kebakaran.

“Saya dimaklumkan adik bongsu saya sudah melarikan diri sebaik melihat rumahnya terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Engku Mohd. Azam Engku Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian melibatkan sebuah rumah penduduk pada pukul 8.12 pagi.

Katanya, api berjaya dikawal kira-kira 20 minit selepas pasukan bomba tiba di lokasi sebelum operasi pemadaman tamat lebih sejam kemudian, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: