Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Wanita disyaki melakukan perbuatan khianat dengan menulis kalimah Allah dan tanda salib menggunakan cat sembur pada kotak panel elektrik di sekitar Taman Sutera baru-baru ini, sudah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata wanita tempatan berusia 40-an itu ditahan pada 2.15 tengah hari tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Kajang.
Katanya, polis turut merampas beberapa barangan termasuk cat merah dan pakaian dipercayai berkaitan kejadian.
"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian, termasuk mendapatkan keterangan saksi serta meneliti rakaman video yang tular," katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara atau denda maksimum mencecah RM500,000, bergantung kepada pembuktian di mahkamah.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881 475.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Terdahulu, tular klip video dirakam orang awam memaparkan seorang wanita berhampiran tulisan kalimah Allah dan lambang salib yang ditulis pada sebuah kotak panel elektrik.
Wanita berkenaan dilihat memegang cat jenis sembur (spray) sebelum dilihat menghampiri dan bercakap dengan dua lelaki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan