HANAFI ZULKEFLE

TANGKAP layar menunjukkan cubaan dua lelaki melarikan diri selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar sebuah kereta ketika cuba melepaskan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, semalam. - SUMBER MEDIA SOSIAL
PETALING JAYA: Dua lelaki melarikan diri selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar sebuah kereta ketika cuba melepaskan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sedang menjalankan Op Tapis Khas.
Katanya, anggota polis ketika itu mengesan sebuah Honda Accord berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri kenderaan berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan.
“Ketika pihak polis menghampiri kenderaan tersebut bagi tujuan pemeriksaan, kenderaan itu dipandu secara melulu dan melanggar sebuah Honda City berwarna biru untuk meloloskan diri daripada pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kira-kira 10 minit kemudian, polis berjaya mengesan semula Honda Accord berkenaan di persimpangan Jalan Sultan Salahuddin.
Polis kemudian bertindak mengejar kenderaan itu sebelum dua lelaki yang berada di dalamnya keluar dan melarikan diri.
“Semakan awal ke atas kenderaan terlibat tidak menjumpai barangan salah di sisi undang-undang.
“Pihak polis kini mengesan dua individu terbabit bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Ahmad Azwan berkata, polis hari ini turut mengesan satu video tular berdurasi satu minit 13 saat di media sosial Threads yang memaparkan kejadian kejar-mengejar membabitkan beberapa individu dan sebuah kenderaan di lokasi berkenaan.
Katanya, kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu polis.
“Maklumat boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan