"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peralat anak untuk buat maksiat

TAHAN... antara pasangan yang ditangkap khalwat dalam operasi di hotel sekitar Kuala Lumpur, semalam.
TAHAN... antara pasangan yang ditangkap khalwat dalam operasi di hotel sekitar Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Tembelang seorang wanita memperalatkan anak kecilnya berusia dua tahun sebagai penyelamat untuk menutup perbuatan sumbang terbongkar apabila dia ditahan pihak berkuasa ketika melampiaskan nafsu bersama kekasih hatinya, seorang warga asing, dalam bilik hotel di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, perbuatan maksiat wanita berusia 40-an itu terbongkar selepas dia dan teman lelakinya warga Bangladesh dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika menjalankan operasi cegah maksiat sempena sambutan tahun baru.
Sumber berkata, pasangan terbabit menggunakan pelbagai alasan dan berkeras menafikan mereka berkhalwat dan mengaku berkahwin beberapa tahun lalu.

Katanya, wanita itu mendakwa mereka tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan kepenatan selepas bersiar- siar di Dataran Merdeka.

“Pada mulanya wanita itu mendakwa bayi terbabit adalah hasil perkahwinan mereka kira-kira setahun lalu. Bagaimanapun, tembelang wanita terbabit pecah apabila mengaku baru mengenali lelaki itu beberapa jam sebelum tahun baru sebelum dibawa ke hotel berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, Jawi mengeluarkan saman mengikut Seksyen 27 Akta 559 (a) (b) Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 kerana disyaki berkhalwat.

Dalam serbuan berasingan di hotel sama, dua remaja terkejut dan menangis teresak-esak selepas tergamam bilik ‘asmara’ mereka diserbu penguat kuasa.


Kedua-dua remaja, masing-masing berusia 18 dan 19 tahun, merayu dilepaskan dan mendakwa tidak berbuat apa-apa, sebaliknya hanya mendaftar di hotel untuk tidur selepas kepenatan menyambut tahun baru.


Difahamkan, mereka yang baru tiba dari Sabah ingin bermalam di hotel hanya sehari sebelum ke Johor untuk berjumpa ahli keluarga remaja wanita terbabit.


“Remaja itu mendakwa akan bertunang beberapa hari lagi, namun kita akan panggil ibu bapa mereka untuk soal siasat lanjut bagaimana mereka boleh sampai ke ibu kota,” katanya.


Mereka antara 20 orang membabitkan 11 pasangan kekasih berusia antara 18 hingga 40 tahun yang ditahan dalam operasi mencegah maksiat sempena sambutan tahun baru, membabitkan kira-kira 30 pegawai penguat kuasa Jawi.


Operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi semalam itu antara usaha berterusan Jawi bagi ‘membersihkan’ ibu kota daripada dicemari gejala maksiat, malah membendung budaya pembuangan bayi.
-hmetro-

Isu SUK: Nizar ramal Pakatan mungkin hilang sokongan Melayu

Adib Zalkapli
Nizar berkata Khalid akan dituduh menderhaka terhadap Sultan Selangor. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 2 Jan: Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengingatkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat kemungkinan berhadapan dengan risiko kehilangan populariti di kalangan orang Melayu dan akan didakwa menderhaka raja ekoran pendirian dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. 
 
Nizar yang kehilangan jawatan menteri besar Perak dua tahun lalu berkata, Umno akan mendakwa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menghormati peranan Sultan ekoran pendirian enggan menerima pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai ketua pegawai perkhidmatan awam negeri, yang dilaporkan telah mendapat perkenan istana.

“Disebabkan mereka mengawal media, mereka akan menggunakan isu ini untuk mendakwa Khalid menderhaka terhadap Sultan seperti yang berlaku ke atas saya di Perak. Bagi orang Melayu ini perkara serius,” kata Nizar kepada The Malaysian Insider.

“Sebab itu, mereka terus-menerus mengatakan Sultan sudah memberi perkenan kepada pelantikan,” katanya.

Nizar kehilangan jawatan menteri besar awal 2009 selepas Sultan Perak enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri ekoran tindakan tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar parti.

Beliau kemudian didakwa menderhaka Sultan selepas meminta agar DUN dibubarkan bagi mengadakan pilihan raya negeri yang baru.

Nizar yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat berkata, di sebalik usaha sepatutnya untuk memperkukuhkan sokongn tradisi Pakatan Rakyat, kehadiran Khusrin akan menjejaskan lagi usaha-usaha pentadbiran kerajaan negeri.

“Ini akan menjadi sesuatu yang sukar bagi Khalid,” katanya.

“Khusrin dilihat sebagai calon terbaik untuk mencabar Menteri Besar,” kata beliau sambil menambah, Umno-BN akan menggunakan isu itu untuk melancarkan kempen terhadap Pakatan Rakyat Selangor kononnya menentang institusi diraja negeri itu.

Khusrin sebagai ketua Jabatan Agama Islam Negeri sebelum ini juga dilihat menentang pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa siri isu.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Nizar juga berkata, pelantikan Khusrin juga sebahagian daripada usaha BN yang menguasai Putrajaya boleh memulakan usaha rampasan kuasa terhadap Selangor sebagaimana berlaku di Selangor.

Justeru, Nizar menasihatkan kerajaan negeri Selangor agar bersedia untuk menghadapi kemungkinan krisis berterusan di negeri itu dan memberi penjelasan pendiriannya menolak pelantikan Khusrin kepada rakyat.

“Sebagai menteri besar, beliau ada kuasa untuk menolak Khusrin daripada memasuki pejabatnya, Langkah terbaik ialah membuatkan beliau masyghul,” katanya.

“Akan ada banyak lagi kemelut (selepas ini), krisis akan berterusan tetapi sekurang-kurangnya rakyat boleh disedarkan (tentang keadaan sebenar peruntukan) dalam perlembagaan,” katanya.

Oleh itu kata beliau, pentadbiran Khalid akan memperoleh kemenangan jika menguruskan isu semasa ini dengan baik.

“Pada masa lalu tidak siapa yang tahu tentang perlembagaan Perak, tetapi sekarang setiap orang mengingatinya,” kata beliau.

Malah Nizar juga menjangkakan isu tersebut tidak akan berakhir dengan memihak kepada Khalid sebagaimana berlaku di Perak apabila beliau cuba untuk menggantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

“Saya telah cuba dua kali,” kata beliau merujuk kepada usahanya merujuk Sultan Perak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan untuk menggantikan Rahman tetapi tidak berhasil.

Telan telur cacing untuk kurus


CACING gelang hidup di dalam perut manusia dan boleh memudaratkan kesihatan.

XIAMEN: Ramai mahasiswi di China sanggup menelan telur cacing gelang supaya mereka kelihatan langsing ketika sesi temuduga, lapor sebuah akhbar semalam.

Tindakan ekstrem itu dilakukan berikutan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan bagi golongan wanita di bandar raya ini, wilayah Fujian, tenggara China.

Telur-telur itu menetas di dalam perut dengan cacing-cacing gelang memakan zat makanan di dalam perut sekali gus menjadikan mereka kurus tanpa senaman atau diet.

Namun, pakar-pakar kesihatan memberi amaran cara tersebut boleh memudaratkan kesihatan.

Di China, wanita yang langsing memiliki lebih peluang untuk mendapatkan pekerjaan terutamanya di bandar-bandar besar di negara itu. 
-Agensi-