"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai, anggota polis antara ditahan terbabit pertubuhan haram

BERNAMA

Kuala Terengganu: Beberapa individu termasuk pegawai dan anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat dalam sebuah pertubuhan haram, di sekitar Dungun, Jumaat lalu.

Menurut sumber tangkapan kesemua suspek dilakukan menerusi Op Selendang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dengan kerjasama PDRM Terengganu.

Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Difahamkan pertubuhan haram itu mulai aktif di daerah Dungun mulai 2021.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan sidang media mengenai perkara itu akan diadakan oleh pihak Bukit Aman setelah siasatan selesai.

Lelaki menyamar wanita curi coli

KOSMO!

LELAKI itu disoal siasat oleh beberapa wanita setelah ditangkap. - Instagram

JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang lelaki ditangkap selepas menyamar sebagai wanita untuk mencuri pakaian dalam di sebuah rumah tumpangan kanak-kanak, lapor laman berita Suara.com.

Kejadian itu berlaku di Semarang Barat, wilayah Jawa Tengah pagi Khamis lalu. Video itu dikongsikan dalam akaun Instagram @kabarnegri.official.

Lelaki itu dilihat memakai pelitup muka hitam, berbaju hitam dan berkain batik. Penghuni rumah tumpangan itu terkejut dengan kehadiran lelaki berkenaan.

“Apa yang anda buat? Maksudnya anda ambil coli?” tanya seorang wanita.

Perakam itu juga dilihat memegang dua coli berwarna ungu dan coklat yang didakwa dicuri lelaki itu.

Lelaki tersebut kemudian mengaku dia hanya diarah melakukan perbuatan tersebut tetapi tidak menyebut siapa yang mengarahnya. 

Video tersebut mendapat perhatian netizen di ruangan komen.

“Bersungguh-sungguh sampai sanggup pakai baju tidur perempuan,” komen seorang netizen. – Agensi

Mahiaddin Mengaku Telah Memfitnah Anwar?

TAK SECARA LANGSUNG MAHIADDIN MENGAKU TELAH MEMFITNAH ANWAR

Shahbudin Husin 

Dalam hujah balasnya kepada mahkamah berhubung saman fitnah yang dikemukakan Anwar Ibrahim terhadapnya, Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin berkata, kenyataannya berkaitan elaun RM15 juta adalah sebahagian daripada ucapan dalam kempen politik PRU15 lalu.

Anwar katanya, bukan saja tidak harus tersingung, malah sepatutnya menjawab pertanyaan yang dikemukakan dalam ceramah itu secara terbuka dan menafikannya sebagai palsu.

“Sebagai ketua kerajaan perpaduan dan pemimpin PH, Anwar tidak sepatutnya berasa tersinggung dengan kritikan dan pertanyaan yang sah ditimbulkan ke atasnya.

“Ia dibuat dalam ucapan politik ketika kempen PRU15 lalu.

“Beliau sepatutnya menjawab pertanyaan yang dikemukakan dalam ceramah itu secara terbuka dan menafikannya sebagai palsu,” demikian antara hujah pembelaan Mahiaddin yang dihantarnya kepada mahkamah sebagai menjawab saman Anwar terhadapnya.

Mahiaddin seterusnya mendakwa, kata-kata yang dilafazkannya semasa kempen politik menjelang PRU15 lalu tidak mempunyai sebarang unsur fitnah, selain melibatkan hal-hal untuk kepentingan awam.

Beliau juga mengakui tidak mengetahui kenyataan yang dibuatnya dalam acara politik di kawasan Parlimen Padang Serai pada Nov tahun lepas itu diterbitkan semula dalam aplikasi TikTok.

Katanya, beliau dia tidak mempunyai kawalan atau pengetahuan mengenai akaun TikTok yang memuat naik kenyataannya itu.

Pada 20 Disember lalu, Anwar telah memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu berkenaan selepas dia dituduh menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor ketika era Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar.

Peguam utama Anwar, Sankara Nair memberitahu, writ saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebelum itu pada 7 Disember Anwar mengeluarkan surat tuntutan yang memberi Mahiaddin tempoh tiga hari untuk membuat permohonan maaf tanpa syarat berhubung dakwaan di media sosial dan menarik balik video TikTok berkaitan.

Mahiaddin juga dituntut untuk membuat aku janji bertulis supaya tidak lagi mengulangi fitnahnya itu.

Pejabat Menteri Besar Selangor sudah mengeluarkan kenyataan dengan memberitahu Anwar hanya dibayar – secara simbolik – sebanyak RM1 setahun atas peranannya menjadi penasihat ekonomi negeri.

Berdasarkan hujah Mahiaddin kepada mahkamah itu, secara tidak langsung ia menunjukkan beliau mengakui telah membuat tuduhan tidak benar atau melakukan fitnah terhadap Anwar.

Cuma, beliau berhujah, kenyataannya itu dibuat dalam ucapan politik kepada kempen PRU15 sedang dilangsungkan.

Soalnya, sejak bila ucapan dalam ceramah politik jadi kebal daripada tindakan mahkamah?

Bukankah hanya ucapan di dalam Parlimen dan DUN saja yang tidak boleh diheret ke mahkamah?

Dengan itu, bukan saja Anwar harus meneruskan samannya terhadap Mahiaddin itu dan jangan sesekali menarik baliknya, bayang kemenangan juga boleh dikata sudah tergambar di depan mata.

Hujah Mahiaddin terlihat amat longgar dan untuk melepas diri semata-mata serta tidak langsung ada penafian.

Teruskan saman, ubat mujarab untuk fitnah hanyalah denda tinggi oleh mahkamah.

Lagi pun, kalau hujah Mahiaddin itu mahu diterima pakai, maka penuhlah ceramah politik dengan fitnah dan tuduhan-tuduhan tidak benar. – ShahbudinHusin 21/01/2023.