"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

7 polis termasuk seorang pegawai ditahan disyaki terlibat judi ekor haram

SAFINA RAMLI

GEORGE TOWN: Seorang pegawai dan enam anggota polis sebuah balai polis di kawasan Timur Laut di sini ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti judi ekor haram.

Selain mereka, lima orang awam turut ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti berkenaan.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada semalam dan kelmarin.

Difahamkan, ketika ditahan kesemua mereka sedang bermain judi ekor haram dan polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut.

Antara barangan yang dirampas termasuk telefon bimbit, wang tunai, komputer riba, mesin mengira wang kertas, buah mahjong, dadu dan sebagainya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin mengesahkan penahanan anggota dan pegawai polis berkenaan, namun enggan mengulas lanjut memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan.

”Saya sahkan, namun tidak dapat ulas lanjut kerana masih dalam siasatan polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini. – UTUSAN

Mid Valley ditutup sementara

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pusat beli-belah Mid Valley Megamall ditutup hari ini untuk penilaian kerosakan susulan kebakaran pagi tadi.

Pihak pengurusannya berkata, kebakaran di pencawang luar Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu sudah dipadamkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Demi keselamatan semua pihak, katanya, bekalan elektrik berdepan gangguan sementara sehingga pihak berkuasa membenarkan ia diaktifkan semula.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan ingin menegaskan keselamatan pengunjung tetap menjadi keutamaan kami,” katanya di Facebook.

Ia mengucapkan terima kasih kepada pelanggan dan penyewa atas kerjasama mereka, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis serta TNB yang bertindak pantas.

Terdahulu, TNB berkata, pihaknya sedang mengenal pasti punca kebakaran dan bekalan giat dipulihkan selepas pencawang masuk utama (PMU) pusat beli-belah itu terbakar pada 10:27 pagi tadi.

“Kebakaran menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna di kawasan terhad sekitar Mid Valley dan sebahagian Desa Pantai.

“TNB mengambil langkah segera untuk pemulihan bekalan dengan sebahagian pengguna terlibat mendapat bekalan seawal 10.55 pagi. TNB sedang berusaha memulihkan bekalan kepada pengguna yang masih terkesan,” menurut TNB.

Agong perkenan Jemaah Menteri sembah cadangan berkait kalimah ‘Allah’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan berhubung penggunaan kalimah “Allah” kepada Majlis Raja-Raja, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri dalam kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan mengandungi kalimah “Allah”.

“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

“Bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bersepadu, Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

“… dan pada masa sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan itu, yang difailkan pada 18 April lalu menyatakan kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian.

Bagaimanapun, Anwar semalam dilaporkan berkata keputusan kes penganut Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran adalah khusus untuk Sarawak.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata KDN tidak berhak menarik balik rayuan penggunaan kalimah “Allah” tanpa merujuk pihak berkuasa agama serta Majlis Raja-Raja sebagai ketua agama.

Sementara itu, Anwar menambah kerajaan dipimpinnya menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Feb yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat-kuasa berhubung isu penggunaan kalimah “Allah”.

“Kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” katanya.