"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KDN Digesa Tarik Balik Penggantungan Permit Harakah dan Suara KeADILan - Suhakam


   
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar menarik balik penggantungan permit tiga bulan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Naib Pengerusi Suhakam, Tan Sri Simon Sipaun, Pesuruhjaya , Datuk' Dr Michael Yeoh dan Datuk Khalid Ibrahim, tindakan menggantung 2 akhbar alternatif tersebut amat dikesali.

"Suhakam prihatin dengan tindakan Menteri Dalam Negeri menggantung tiga bulan permit penerbitan Suara Keadilan dan Harakah tanpa sebarang alasan.”

Penggantungan akhbar rasmi PAS dan Keadilan itu disifatkan sebagai mencabuli hak kebebasan bersuara, mengekang masyarakat memberi pandangan serta pendapat dan menghalang rakyat mendapatkan maklumat sebagaimana yang tertakluk dalam Deklarasi Umum Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR).

Semalam Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum bantahan kepada Suhakam berhubung penggantungan permit 2 akhbar berkenaan yang berkuatkuasa Isnin lalu.

Rombongan Pakatan Rakyat diwakili Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar, Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua dan Timbalan Setiausaha Publisiti Nasional DAP Teo Nie Ching.

Mahfuz mendesak agar dihapuskan kuasa Menteri Dalam Negeri menggantung atau menarik balik permit sesebuah akhbar.

"Sudah tiba masanya kuasa memberi dan menarik permit sesebuah penerbitan bercetak diserahkan kepada mahkamah bukan kepada menteri.

"Jika kuasa masih berada di tangan menteri, apa yang berlaku hari ini akan berulang lagi di mana tindakan menggantung permit Harakah dan Suara Keadilan yang jelas bermotif politik," tegas beliau.

Sementara itu, Tian Chua pula menegaskan tindakan terbaru Kementerian Dalam Negeri ini dibuat ekoran daripada piliharaya kecil yang bakal diadakan di tiga tempat.

"KDN telah bertindak tanpa mempedulikan hasrat rakyat yang mahu merayakan informasi dengan sebebas-bebasnya," tegas beliau.

Tegas beliau, KDN hingga hari ini masih gagal membuktikan dimanakah kewajaran tindakan tersebut dibuat dan tidak dapat membuktikan berita atau rencana yang mana yang berunsur fitnah.

Manakala Nie Ching pula mendesak agar KDN tidak lagi bertindak seperti hakim yang menghukum mana-mana akhbar yang tidak sehaluan dengan kerajaan tanpa mempedulikan kepentingan untuk menjaga kebebasan media.

"Tindakan KDN ini juga telah menyekat parti-parti pembangkang daripada menyalurkan informasi kepada ahli-ahlinya," tegas beliau.

Memorandum bantahan Pakatan Rakyat itu diterima oleh Setiausaha Suhakam, Hashimah Nik Jaffar. 

 -TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: