"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan taja pengajian Nur Madihah

Salmah Mat Husain 
KOTA BHARU, 25 Mac (Hrkh) - 
Kerajaan Kelantan bersetuju menaja pelajar cemerlang SPM 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18 bagi melanjut pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan atau di Timur Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, mesyuarat Exco hari ini bersetuju memberikan biasiswa kepada pelajar berkenaan.

"Ini kerana beliau telah mengharumkan nama Kelantan, Yayasan Islam Kelantan dan Maahad Muhammadi Perempuan," katanya selepas mesyuarat Exco, hari ini.

Sedangkan kebiasaannya kata beliau kerajaan negeri menawar pinjaman kepada setiap pelajar yang layak untuk menyambung pengajian.

Bagaimanapun katanya jumlah biasiswa itu belum lagi diputuskan kerana ia bergantung kepada kursus yang akan diambil Nik Nur Madihah.

Menurutnya kalau bidang perubatan kosnya sebanyak RM200,000 sehingga tamat pengajian.

"Bagi pelajar-pelajar cemerlang lain akan ditawarkan dalam bentuk pinjaman melalui Yayasan Kelantan Darulnaim," katanya.

Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri akan memberi saguhati sebanyak RM500 kepada kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan STPM 2008.

Katanya, setakat kini seramai 738 pelajar bakal menerima hadiah berkenaan dari kerajaan negeri termasuk pelajar sekolah Jabatan Pelajaran, Yik, persendirian dan swasta.

Hadiah juga akan diberikan kepada pelajar cemerlang luar Kelantan namun menduduki peperiksaan di negeri ini.

Syarat yang ditetapkan iaitu memperolehi 9A ke atas dalam peperiksaan SPM, STAM (mumtaz) dan STPM (4 prinsipal). 

Tiada ulasan: