"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KDN gantung Harakah dan SK, menterinya pula kalah Naib Presiden

Wan Nordin Wan Yaacob 
Tahun 2009 baharu sahaja menjangkau tiga bulan, dan akan masuk bulan yang ke empat beberapa hari sahaja lagi.

Suka duka perjalanan 2008 sesungguhnya memberi pengalaman yang amat berharga, dari kisah tsunami 8 Mac 2008, hinggalah kepada kisah 16 September, Muqabalah dan 'Unity Government' semuanya menceriakan tanpa menggusarkan.

Namun, pengalaman manis mengecapi kejayaan dalam pilihan raya umum 2008 yang juga pada bulan Mac 'tersentap' dengan kisah pahit 2009, penggantungan Harakah yang juga pada bulan Mac.

Sejak bekerja pada tahun 2002, inilah kali pertama penulis merasai sendiri detik mencemaskan dalam karier kewartawanan memandangkan Harakah digantung permitnya selama tiga bulan.

Walaupun dengan penggantungan ini semangat semakin berkobar, tidak dinafikan juga kepala ini semakin pening dan serabut memikirkan perjalanan akhbar yang disayangi selepas ini agak tergendala.

Belumpun selesai memikirkan perihal jualan yang kejap naik kejap turun, sesungguhnya surat penggantungan yang difakskan KDN memuramkan mentari hidup yang mula bersinar.

Ramai rakan-rakan yang mengirimkan sms menyatakan pandangan mengenai penggantungan Harakah, hampir kesemuanya kecewa dengan tindakan KDN menggantung akhbar yang disayangi mereka.

Seorang rakan dari Ipoh, Perak menghantar sms kepada penulis berbunyi 'adakah Harakah dan Suara Keadilan ini satu akhbar yang mengancam keselamatan negara, membawa pengaruh yang memudharatkan sosial anak muda, yang membawa pengaruh menyebabkan ramai yang minum arak dan berjudi, yang membawa kecelaruan dalam beragama?

"Pelik mengapa KDN tidak menghentikan penerbitan beberapa akhbar lain yang bebas mengeluarkan gambar artis seksi, fitnah atau gossip, gambar yang mencetus nafsu syahwat dan sebagainya yang lebih merosakkan rakyat," kata rakan itu dalam sambungan smsnya.

Beberapa sms lain menyusul membayangkan betapa rakan penulis berang dengan tindakan KDN yang sebelum ini beberapa kali merampas jualan Harakah di beberapa lokasi ketika kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Malangnya suara insan seperti ini tak akan didengari pemimpin Umno BN yang pastinya hanya memikirkan soal survival politiknya sahaja.

Walhal akhirnya tindakan penggantungan Harakah dan SK oleh KDN yang diterajui Dato' Seri Syed Hamid ALbar akhirnya mengundang kekalahan kepada menteri itu dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno.

Seperti kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar 'tak guna Syed Hamid gantung Harakah dan SK sebab tak berbaloi, kononnya nak dilihat perwakilan sebagai wira akhirnya kalah rebut jawatan".

Pagi tadi rakan penulis sekali lagi menghantar smsm kepada penulis, berbunyi 'inilah natijahnya Syed Hamid sekat Harakah dan SK, akhirnya orang Umno pun tolak dia'.

Tiada ulasan: