"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Elizabeth Wong: Menyanggah Kenyataan media YB Kulim BB

Saya ingin mengulas kenyataan media yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, YB Zulkifli Noordin yang telah mengambil pendirian untuk tidak bersetuju dengan keputusan YAB & Kerajaan Negeri Selangor yang membuat keputusan untuk mengekalkan YB Elizabeth Wong sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan ADUN Bukit Lanjan.

Beliau juga mengambil keputusan kononnya untuk memufaraqah dan memisahkan dirinya daripada keputusan tersebut.

Beliau beralasan "Keputusan YAB MB & Kerajaan Negeri Selangor
memaksa YB untuk terus mengekalkan kedudukan beliau sebagai Exco dan ADUN memberi gambaran seolah-olah YAB MB & Kerajaan Negeri tidak menghormati keputusan YB Eli untuk meletak jawatan."

Persoalan pokok ialah bagaimana seorang peguam boleh terus menerjah kepada kesimpulan sedemikian sedangkan tidak ada lansung unsur paksaan yang dikenakan oleh YAB MB dan Kerajaan Selangor?

Apakah beliau tidak membaca perenggan-peranggan awal kenyataan media berkenaan yang jelas menyatakan:

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) hari ini telah membuat keputusan
untuk menawarkan YB Elizabeth Wong agar kembali meneruskan tugas beliau sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan.

Justeru itu,
jika YB Elizabeth menerima keputusan ini, beliau akan diminta kembali dari cuti untuk meneruskan perkhidmatan beliau kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Selangor mulai esok."

Saya hairan sikap Zulkifli yang baru saja menjadi YB tiba-tiba kini cuba menunjukkan sikap angkuh dan tidak menghormati keputusan yang dibuat secara mesyuwarah oleh sebuah kerajaan Pakatan Rakyat apatah lagi di atas premis yang salah.

Isu gambar tidak sopan Elizabeth Wong sekarang ini berada di dalam siasatan polis. Kita tidak mengetahui sampai bila kes itu akan disiasat, seminggu, sebulan setahun atau mungkin sahaja sedekad.

Namun kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mempunyai obligasi kepada penduduk di Bukit Lanjan untuk ditunaikan. Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara itu tergantung sine die - tanpa mengetahui bila akhirnya kerana yang rugi ialah rakyat, yang rugi ialah pengundi Bukit Lanjan.

Menteri Besar Selangor di dalam kenyataannya menyebut lagi:

"Kerajaan Negeri juga berpendapat keputusan ini adalah wajar dan adil setelah mengambil kira pandangan semua pihak, kepentingan rakyat serta perkembangan mutakhir siasatan polis yang sehingga kini gagal membuat sebarang keputusan muktamad.

DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah diberi taklimat tentang keputusan ini. Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Negeri Selangor, saya menjujung kasih ke atas pendirian Tuanku untuk tidak mencampuri urusan politik serta memberi kepercayaan penuh kepada Kerajaan Negeri bagi membuat keputusan yang adil dan terbaik."

Malah kenyataan daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor satu ketika dulu jelas menunjukkan baginda sendiri turut bersimpati dengan apa yang menimpa Elizabeth.

"Sultan Selangor turut menyatakan rasa bimbang dan dukacita baginda dengan perkembangan akhir-akhir ini di mana perbuatan menceroboh hak peribadi dan privasi individu dijadikan sebagai suatu alat untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang.

“Adalah satu perkara yang menyedihkan apabila kehidupan dan hak peribadi individu itu dijadikan satu publisiti dan topik hangat untuk disebarkan (melalui media massa) kepada orang ramai,” tambah kenyataan dari Setiausaha Sulit Sultan lagi.

Seandainya Sultan Selangor sendiri bersimpati dengan Elizabeth, apa nak kisahkan dengan kata-kata dan tulisan-tulisan YB Zul atau Khir Toyo yang selama ini perasan diri mereka bagus sangat tetapi banyak yang boleh dipersoal itu.

Seandainya benar Zulkifli ini seorang yang mengetahui soal tanzim (berorganisasi) apa tah lagi menggunakan istilah Islam seperti
mufaraqah (bukan memufaraqah - Arab + Melayu?) maka sepastinya beliau menundukkan keegoaannya dari berkata sesuatu yang di luar daripada bidangnya.

Sebenarnya ini bukan kali pertama Zulkifli gagal untuk menunjukkan "adab" di dalam di dalam berorganisasi.

Satu ketika dulu di dalam kes beliau mengetuai Himpunan Aman membantah tindakan Bar Council mengadakan satu forum beliau juga bertindak sendirian - tanpa restu daripada organisasinya hanya dengan menggunakan alasan
"for me, Islam come first, the rest are second".

Benar Islam itu mesti di dahulukan, tetapi bukan mengikut acuan dan pemahaman sendiri-sendiri tetapi hendaklah berpegang kepada Al-Quran, Sunnah, Ijma Ulamak dan Qias.

Jika berpegang kepada kefahaman sendiri-sendiri itulah yang menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam kerana
ketiadaan wahdatul-fikr yang akhirnya menimbulkan perpecahan yang mengakibatkan kegagalan dan kehancuran.

Selepas daripada mengetuai himpunan tersebut, beliau dilaporkan "hilang" beberapa hari, tidak dapat dikesan.

Tetapi ramai menemuinya di Kampung Baru Kuala Lumpur dimana beliau ada bersama-sama Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria yang pada ketika itu amat mengusahakan supaya PAS "bersatu" dengan UMNO untuk membentuk kerajaan di Perak (di Kedah dan Selangor juga?)

Beliau juga turut dipersoalkan kerana telah mengambil sikap pasif dan dingin di dalam membantu calon Pakatan Rakyat sewaktu di dalam pilihanraya kecil Bukit gantang atau Bukit Selambau 7 April lalu.



http://greenboc.blogspot.com/

Tiada ulasan: