"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penduduk Kesal Imam Masjid Simpang Dipecat

Jemaah Masjid Ikhwaniah, Simpang tidak berpuas hati apabila salah seorang daripada imam yang bertugas Jumaat lepas di masjid berkenaan telah dilucutkan jawatan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Pak su berkata, pelucutan jawatan imam berkenaan dibuat secara lisan.

“Apabila ditanya mengenai perkara tersebut imam berkenaan memberitahu dia menerima maklumat itu daripada Pengerusi Masjid yang mendapat arahan daripada pihak lain.

"Kita mesti menghormati dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan, jika kita tidak suka, kita tidak boleh tolak begitu sahaja," katanya.

Sementara itu, Seorang Pegawai Masjid, Ahmad Din berkata, pada hari kejadian, dia mendapat panggilan telefon daripada seorang rakan bahawa Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin akan datang ke masjid berkenaan untuk berjemaah.

Menurutnya, dia yang mengambil saf hadapan terlihat Nizar lalu menjemputnya ke saf hadapan sambil mempelawa beliau menjadi imam.

“Saya menjemputnya ke saf hadapan sebagai tanda menghormati beliau sebagai ketua dan jika hendak diikutkan hukum Fiqah, pemerintah atau pemimpin layak menjadi imam. Kedua, orang yang dilantik iaitu imam,” katanya.

Seorang lagi Pegawai Masjid, Harun Mat Piah berkata, pada hari yang sama dia juga berkhidmat seperti biasa, melalukan iqamat selepas khatib membaca khutbah.

Bagaimanapun, sebaik terlihat kehadiran Nizar, dia menyerahkan mikrofon untuk mengimamkan solat berkenaan.

"Sebaik selesai solat Jumaat, ada kalangan jemaah yang bertanya siapa yang menjadi imam.

“Di sini tidak timbul siapa yang menjadi imam, yang penting orang itu boleh mengimamkan jemaah, pihak masjid mengalu-alukan. Tidak kira sama ada orang itu pemimpin atau orang biasa,” katanya.

Menurutnya, meskipun imam berkenaan tidak menjalankan tugasnya pada hari berkenaan, jemaah masih mahu imam terbabit meneruskan khidmatnya dan pelucutan jawatan itu perlu ditarik balik.

"Dalam negara yang demokrasi ini, kita bebas untuk memilih sesiapa untuk menjadi pemimpin," katanya.

Sementara itu, jurucakap Majlis Agama Islam Taiping (MAIT) yang dihubungi Sinar Harian berkata, pihak Majlis tidak mempunyai kuasa di atas masjid berkenaan kerana tidak diwartakan sebagai tanah wakaf Majlis tetapi diwakafkan atas nama Tan Sri Bashir.

Bagaimanapun katanya, bagi masjid yang diwartakan di bawah Majlis, soal pelucutan jawatan imam tidak timbul jika tiada sebarang laporan lengkap bertulis dibuat.

- sinarharian
http://greenboc.blogspot.com/

Tiada ulasan: