"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan P. Pinang bantu SAR RM1.5 juta

Mohd Sabri Said  

GEORGETOWN, 16 April (Hrkh) - Selain Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil seluruh Pulau Pinang mendapat bantuan RM1.5 juta semalam, Sekolah Agama Rakyat (SAR) juga mendapat durian runtuh yang sama nilainya sehari sebelum itu daripada Kerajaan Negeri.

Sebanyak 17 buah SAR disenaraikan peruntukan untuk pembangunan, pembaikan SAR, bayaran elaun pada guru dan kakitangan, buku teks, perpustakaan, makmal dan multimedia.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng menambah, daripada sejumlah itu RM300.000 diperuntukan kepada SAR Al-Aminiah, Permatang Pauh untuk pembinaan makmal sains.

"Kewujudan makmal sains itu nanti akan menyenangkan pembelajaran pelajar selain dapat membantu melahirkan anak yang cemerlang dan terbilang seperti kejayaan tokoh sains dan agama terkenal yang memperkenalkan ilmu hisab dan astronomi, Al-Khawarizmi," ujarnya.

SAR boleh memperolehi peruntukan itu menerusi akaun sekolah berkenaan melalui 'Electronic Tranfer Funds' (EFT) yang diselia oleh Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri.

Beliau berharap SAR dapat menggunakan peruntukan itu dengan sebaik mungkin untuk melahirkan insan yang berjaya suatu hari nanti selari dengan impian Kerajaan Negeri melahirkan cendiakiawan muda yang dapat mengharumkan nama negeri di persada dunia.

Antara SAR yang mendapat peruntukan itu ialah Madrasah Al- Irsyad Al Asyraf AlWataniah, Sekolah Tahfiz Al-Islah dan Madrasah Manabil Ulum. 

Tiada ulasan: