Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

PETIKAN Video tular memaparkan pemandu bas dipukul di Terminal Bas Larkin Sentral.
Johor Bahru: Polis sedang mengesan tiga lelaki terbabit dalam insiden pemandu bas dikasari di Terminal Bas Larkin Sentral di sini yang tular sejak semalam.
Mereka dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung insiden memukul mangsa serta mengeluarkan ugutan terhadapnya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya mengesan video berkenaan selepas laporan polis dibuat mangsa, 41, pada 1.46 petang semalam.
Beliau berkata, mangsa mendakwa dipukul dan diugut oleh tiga lelaki di terminal bas berkenaan.
"Punca kejadian masih belum dapat dipastikan lagi. Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Azrul Hisham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan