"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu inflasi jadi kebimbangan utama pengundi

Bloomberg

KUALA LUMPUR: Pilihan raya umum di Malaysia semakin hampir, dengan hampir seribu calon daripada berpuluh parti cuba memenangi hati dan fikiran 21 juta pengundi.

Ketika ramai sedang bergelut untuk membeli keperluan makanan di tengah-tengah inflasi, pengundi mencari parti mana yang paling meyakinkan dalam menjanjikan kestabilan ekonomi dan harga.

Namun pelbagai faktor lain juga menjadi taruhan dalam persaingan merebut 222 kerusi Parlimen, termasuk untuk menamatkan kekacauan politik yang melanda negara sejak empat tahun lalu.

Barisan Nasional yang memerintah berharap untuk memperoleh majoriti yang jelas dan menebus dirinya berikutan kekalahannya dalam pilihan raya 2018, apabila ia ditumbangkan selepas enam dekad berkuasa kerana skandal 1MDB.

Empat tahun dan tiga kerajaan kemudian, skandal rasuah berbilion dolar itu diketepikan dalam acara kempen pilihan raya ketika rakyat Malaysia bersiap sedia menghadapi inflasi tahunan tertinggi dalam tempoh lima tahun.

“Saya boleh tutup sebelah mata terhadap rasuah, selagi mereka pastikan kita terjaga,” kata Ahmad Zaini, pemandu di Selangor.

“Tengok sajalah harga ayam, bagaimana kami nak makan?”

Daging kegemaran di Malaysia itu kini di luar kemampuan bagi sebahagian rakyat kerana peningkatan harga dedak import selain permintaan dari luar negara melonjakkan lagi harga melebihi had ditetapkan kerajaan pada RM9.40 sekilogram. Harga siling di paras RM8.90 pada Jun.

Inflasi jejas populariti perdana menteri dalam tinjauan menjelang PRU15

Pesaing utama BN adalah Pakatan Harapan, dipimpin Anwar Ibrahim, yang meraih kemenangan mengejut pada 2018 tetapi tumbang selepas 22 bulan dalam kerajaan kerana perbalahan.

Pakatan lain dalam perbalahan itu diketuai oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan negarawan paling kanan Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, 97.

Kedua-dua pakatan utama menjanjikan pemberian tunai untuk membantu mengimbangi kos yang lebih tinggi, dengan BN berjanji bahawa semua isi rumah akan memperoleh sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan. Itu adalah tawaran yang dialu-alukan oleh enam juta pengundi muda, pengundi kali pertama yang sangat rentan kepada peningkatan kos.

Gaji median bagi mereka yang berumur 20 hingga 24 tahun ialah RM1,464 pada 2021, kurang daripada gaji minimum kebangsaan RM1,500, menurut data daripada Jabatan Perangkaan.

Ia jauh di bawah kos sara hidup yang dianggarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2018. Bank pusat itu berkata bahawa gaji sara hidup pasangan yang tinggal di Kuala Lumpur tanpa anak sepatutnya RM4,500 sebulan, dan dengan dua anak, ia sepatutnya RM6,500

Medan pertempuran yang sesak tambah risiko ketiadaan majoriti jelas

Namun, medan pertempuran yang sesak bermakna masalah politik negara mungkin tidak dapat diselesaikan dalam pilihan raya ini. Jika tiada majoriti jelas muncul, gabungan utama mungkin sekali lagi terpaksa berunding dengan parti minoriti untuk membentuk kerajaan.

Sementara skandal 1MDB mungkin telah diketepikan, skandal politik baharu menggugat beberapa calon terkemuka.

Mereka yang menang terpaksa berhadapan dengan kelembapan ekonomi selepas pemulihan yang pesat, tetapi tidak sekata, akibat pandemik yang melanda. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada 14.2% pada suku terbaharu, tertinggi di rantau ini, hasil daripada komoditi dan minyak serta pembuatan yang kukuh, tetapi inflasi meningkat hampir dua kali ganda sejak awal tahun, walaupun terdapat subsidi ke atas makanan dan bahan api.

Sasaran pertumbuhan diunjurkan oleh BNM pada 2023 ialah 4% hingga 5% berbanding lebih daripada 7% dianggarkan tahun ini, bagi mencerminkan kelemahan prospek global.

“Pertumbuhan ekonomi global yang perlahan mungkin menjadi risiko untuk diperhatikan”untuk pemulihan yang tidak sekata merentas sektor berbeza, kata Vishnu Varathan, ketua ekonomi dan strategi di Mizuho Bank Ltd di Singapura.

Untuk cuba menjatuhkan BN semula, PH menyasarkan negeri-negeri yang kerap bertukar tangan seperti Perak, yang telah bertukar kerajaan negeri sebanyak empat kali sejak 2008.

Dengan bahagian kerusi Parlimen BN di negeri itu daripada 24 turun kepada 14 kemudiannya 11 dalam tiga pilihan raya yang lalu, PH berharap untuk merampas kembali negeri berkenaan.

“Perak bertukar tangan sejak 2008, dan keputusan Anwar untuk bertanding di sini (Tambun) telah kembali menarik minat dalam pilihanraya,” kata Wong Chee Heng, pesara guru dari Taiping, yang berkata dia menyokong pembangkang.

PH semakin menarik minat pengundi. Gabungan itu mungkin muncul dengan bahagian terbesar undi, menurut tinjauan oleh YouGov ketika tinggal beberapa hari sebelum pilihan raya. Tinjauan itu juga menunjukkan sokongan yang semakin meningkat kepada PN dalam kalangan majoriti etnik Melayu.

Biarpun hujan lebat, perhimpunan PN di Kuala Lumpur pada malam Isnin menarik orang ramai, dengan penyokong yang menunggu hingga lewat malam untuk mendengar Muhyiddin dan pemimpin berucap, termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali.

Seperti 2018, PH bergantung kepada tiket anti rasuah. Skandal berhubung perolehan kapal perang yang tercetus pada Ogos dan siasatan ke atas salah satu yayasan milik Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi telah menyebabkan sebahagian pengundi berpaling daripada gabungan pemerintah.

“Saya jelas menyokong Pakatan Harapan kerana mereka menentang rasuah,” kata Fikri Irfan, 22, yang menghadiri perhimpunan oleh pakatan pembangkang utama di Tangga Batu di Melaka dalam keadaan hujan lebat. “Saya ingin memberi Anwar Ibrahim peluang sekali lagi.”

Tiada ulasan: