BORHAN AHMAD
Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mendedahkan, calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat popular di luar negara.
Anifah bergambar dengan aktivis Pakatan Harapan di Sabah
Katanya, pengalaman beliau sepanjang menjadi Menteri Luar, apabila keluar negara sahaja, soalan yang selalu ditanya kepada beliau adalah “Apa khabar Anwar Ibrahim, bila beliau akan menjadi PM.”
Beliau yang tidak bertanding kali ini di Parlimen Kimanis, Sabah bagi memberikan sokongan kepada calon dari Pakatan Harapan menceritakan pengalaman ini dalam ucapannya.
“Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya.
“Saya timbalan menteri 10 tahun dan Menteri Luar Negeri hampir 10 tahun.
“Setiap kali saya keluar negara dan duduk dengan pemimpin luar bagi membincangkan kepentingan dua hala dengan mereka.
“Soalan pertama yang mereka tanya, how is brother Anwar Ibrahim (Apa khabar saudara Anwar Ibrahim).
“Saya kata, saya dari Barisan Nasional, orangnya popular juga.
“Bila saya ke banyak tempat di Eropah, soalan juga banyak “how is brother Anwar Ibrahim.
“When will he become the prime minister? Inilah kedudukannya,” kata Anifah dalam ucapannya di Sabah.
Anifah membuat kejutan semalam apabila muncul dalam program Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Anifah, yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu bukan sekadar hadir dalam Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Sepanggar malah, beliau secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim selaku calon Perdana Menteri, lapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata, penyertaannya dalam arena politik tanah air didorong oleh Anwar jadi, pada pilihan raya kali ini, beliau akan memberi sokongan terhadap Anwar yang akan diangkat sebagai calon Perdana Menteri PH.
“Saya hanya presiden parti kecil, suara saya kecil tapi, kita mahu bersuara demi anak-anak kita dan rakyat negeri Sabah.
“Saya tidak tanding kerana saya mahu ikut serta dengan Anwar dan bantu calon-calon Harapan di merata-rata tempat.
“Inilah peluang terakhir kita menentukan siapa Perdana Menteri.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, kita perlukan seorang pemimpin yang boleh menangani masalah kemelesetan ekonomi dan pemimpin itu tidak lain dan tidak bukan adalah mantan Menteri Kewangan terbaik Malaysia iaitu, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya semasa Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Sepanggar semalam.
Anifah berkata, beliau diminta oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak bertanding di Parlimen Kimanis dan membantu calon-calon Barisan Nasional (BN). Sebagai balasan, Presiden Umno itu menawarkan jawatan Menteri Luar dan Senator kepadanya.
Mengulas lanjut katanya, bukan jawatan yang beliau kehendaki sebaliknya, beliau mahu agar tuntutan-tuntutan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan.
“Apa yang saya kehendaki adalah lunaskan apa-apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan MA63. Itu perjuangan saya dan sekitar 2015-2016, saya telah hadiri forum dan diberi surat amaran kerana bersuara tanpa melalui Kabinet.
“Malah, setiap kali bersama Perdana Menteri, saya berbisik, merayu dan memohon kepadanya agar MA63 dilaksanakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan