S Vinothaa
Calon bebas Tian Chua nampaknya cuba menghakis sokongan PH di kawasan Batu bagi menghalang ketua pembangkang Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri, kata penyandang kerusi parlimen itu P Prabakaran.
Dia mengulas dakwaan bekas naib presiden PKR itu bahawa "satu undi untuk saya (Chua) adalah satu undi untuk Pakatan Harapan."
“Kenyataannya mengelirukan pengundi dan menghalang PH daripada menang dan menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri,” kata Prabakaran kepada Malaysiakini hari ini.
Namun, tidak terpengaruh dengan usaha Chua untuk menarik undi penyokong PH, Prabakaran berkata PH memang ada peluang kalah di Batu tetapi dia akan "memastikan Pakatan Harapan menang."
Prabakaran merujuk kepada kenyataan Chua yang disiarkannya dalam Sin Chew Daily semalam.
“Walaupun ada kesan (daripada kenyataannya) saya tidak nampak ia besar kerana saya pernah turun padang, bercakap dan melibatkan diri dengan orang ramai.
“Orang ramai faham apa yang dia (Chua) cuba lakukan dan mereka faham pergolakan politik antara dia (Chua) dan Pakatan Harapan.
“Jadi, saya tidak perlu beri penjelasan,” kata Prabakaran.
'Tak terkejut' Tian Chua tanding bebas
Chua, bekas ahli parlimen Batu selama dua penggal dari 2008, tidak diletakkan PKR bertanding di kawasan itu kali ini selepas tewas dalam pemilihan cabang parti kepada Prabakaran.
Bagaimanapun, Prabakaran memberitahu Malaysiakini dia tidak terkejut melihat Chua hadir sebagai calon bebas pada hari penamaan calon kerana dia telah tahu mengenainya seawal dua minggu sebelum itu lagi.
Prabakaran berkata dia juga telah didesak Chua supaya menyerahkan pencalonan kepada bekas aktivis era reformasi itu dan menyatakan Anwar cuba menghalang Chua daripada bertanding.
Bekas ahli parlimen Batu itu dilihat dikaitkan dengan sekumpulan ahli parlimen PKR yang berpaling tadah, diketuai bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali, yang keluar parti dan mengakibatkan keruntuhan kerajaan PH pada Februari 2020.
Walaupun Chua kekal dalam PKR, dia dicurigai dalam parti kerana dilihat sebagai sekutu kepada Azmin.
Prabakaran berkata ini mengecewakan dirinya kerana hubungan rapat antara mereka berdua apabila Chua berkempen untuknya pada PRU14, walaupun dia bertanding sebagai calon bebas ketika itu.
Chua pada mulanya calon PKR untuk pilihan raya 2018 tetapi hilang kelayakan apabila didenda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana menghina pegawai polis semasa siasatan hasutan.
Prabakaran, ketika itu seorang pelajar, menang dengan meraih 23,438 undi dan menjadi wakil rakyat termuda yang dipilih ke parlimen pada usia 22 tahun.
Berikutan kemenangannya, Prabakaran menyertai PKR dan pada Mei tahun ini menewaskan Chua untuk menjadi ketua cabang Batu dalam pemilihan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan