"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anifah Aman: Zahid janji lantik saya menteri, senator jika tak tanding

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas menteri luar, Anifah Aman membuat kejutan apabila muncul pada majlis ceramah Pakatan Harapan (PH) dihadiri pengerusinya yang juga presiden PKR, Anwar Ibrahim, di Sepanggar, malam tadi.

Pada majlis itu, Anifah yang juga presiden Parti Cinta Sabah (PCS) mengambil peluang untuk mendedahkan tawaran Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi terhadapnya sebagai balasan tidak bertanding di Parlimen itu bagi memberi laluan kepada calon Umno.

Bagaimanapun beliau tidak mahu tawaran berkenaan kerana berpegang kepada perjuangannya mengenai tuntutan hak Sabah, khususnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Presiden Umno meminta saya untuk tidak bertanding dan membantu calon BN. Beliau janji akan memberi jawatan menteri luar dan lantik senator.

“Itu (tawaran jawatan) bukan saya kehendaki. Apa yang saya kehendaki ialah lunaskan apa-apa termaktub dalam Perlembagaan dan MA63. Itu perjuangan saya,” katanya ketika berucap pada majlis itu, menurut Berita Harian.

Anifah berkata, beliau sentiasa meminta MA63 dan tuntutan 40% hasil Sabah ditunaikan sepanjang berada dalam kerajaan sebelum ini kerana merasakan perkara itu penting untuk direalisasikan.

Beliau berkata, pengembalian hasil 40% kepada Sabah mampu memberi banyak peluang kepada rakyat negeri ini termasuk pekerjaan dan pembukaan industri kecil kepada belia.

Sementara itu katanya, beliau mahu mengikut Anwar dan membantu calon PH berkempen bagi memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

Tiada ulasan: