"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tony Pua tuntut Chegubard mohon maaf atas ‘fitnah’ kontrak Tabung Haji

FMT Reporters

PETALING JAYA: Peguam Tony Pua mengeluarkan surat tuntutan kepada Badrul Hisham Shaharin daripada Perikatan Nasional kerana mendakwanya memiliki firma IT yang mendapat kontrak Tabung Haji pada 2019, ketika menjadi pembantu menteri kewangan ketika itu.

Bekas Ahli Parlimen Damansara daripada DAP itu mendakwa Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard memfitnahnya dan cuba menghasut orang ramai, khasnya umat Islam terhadap dirinya, DAP dan Pakatan Harapan (PH).

“Saya ingin menegaskan saya tidak lagi memiliki satu saham pun dalam syarikat Cyber Village Sdn Bhd sejak 15 tahun lalu. Syarikat tersebut merupakan syarikat yang saya terajui sehingga 2006.

“Terdapat maklumat dan rekod umum saya telah menjual semua milikan saham saya dalam Cyber Village sebelum saya masuk bidang politik pada 2007. Saya tidak lagi ada sebarang kaitan dengan syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Pua berkata, Tabung Haji bukan badan berkanun persekutuan di bawah naungan Kementerian Kewangan dan kementerian itu tidak terbabit dalam urusan Tabung Haji semasa pentadbiran PH.

Tetapi katanya, terdapat satu pengecualian untuk suntikan dana RM17.9 bilion daripada Kementerian Kewangan bagi “menyelamatkan” Tabung Haji.

“Oleh itu, segala tuduhan yang berniat jahat daripada Chegubard langsung tidak berasas.”

Justeru, Pua menuntut Badrul memohon maaf dan menarik balik dakwaannya atau beliau akan memfailkan saman di mahkamah.

Katanya, Badrul terpaksa memohon maaf kepadanya pada Mei lalu berhubung dua catatan Facebook lain pada 2019, selepas saman difailkan di mahkamah.

Semalam, Badrul mendakwa kontrak bernilai RM4.53 juta diberikan kepada Cyber Village oleh Tabung Haji bagi penyelenggaraan platform dalam talian THIjari.

Beliau mempersoalkan kenapa kontrak itu diberikan kepada syarikat milik bukan Islam, dengan mendakwa ia tidak sejajar tujuan Tabung Haji.

Tiada ulasan: