Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my
Muhammad Haikal ditemui pensyarahnya ketika berjalan kaki untuk pulang mengundi di kampungnya di Kelantan selepas tiket bas habis. - Foto ihsan Kolej Komuniti Kepala Batas
KEPALA BATAS: Seorang pelajar Kolej Komuniti, di sini tidak mahu melepaskan peluang pertamanya untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila sanggup pulang ke kampung halamannya di Kelantan dengan berjalan kaki.
Muhammad Haikal Noor Azmin, 18, mengambil keputusan itu selepas semua tiket bas habis berikutan orang ramai pulang mengundi pada Sabtu ini.
Bagaimanapun, pelajar jurusan Sijil Animasi 2D itu ditemui pensyarahnya yang kebetulan dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Bertam Indah 2, kira-kira jam 7 petang semalam.
Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Jasni Mohd Yusof, berkata pelajar itu adalah orang kurang upaya (OKU) yang kurang sempurna dari segi pergerakan dan pertuturan.
"Walaupun begitu, dia semangat untuk menunaikan tanggungjawab untuk membuang undi pada PRU15 hingga sanggup berjalan kaki.
"Bahkan ketika ditemui, pelajar itu kelihatan keletihan. Pihak kolej kemudian mengambil inisiatif menghantar pelajar berkenaan pulang ke kampung halamannya. Ini adalah bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar itu terjamin," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Jasni berkata, pihak kolej menggunakan kenderaan jabatan bagi proses menghantar pulang Muhammad Haikal dan pelajar itu selamat sampai ke kampung halamannya, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Haikal berkata, dia terharu dengan bantuan yang dihulurkan pihak pengurusan kolejnya bagi memastikan dia dapat pulang mengundi.
Katanya, bantuan yang diberikan itu sedikit sebanyak meringankan beban keluarganya, apatah lagi dia adalah anak sulung daripada lima beradik yang kematian bapa sejak berusia 11 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan