PH lapor polis dakwaan Muhyiddin berkait ‘Kristianisasi’
Faisal Asyraf
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin atas dakwaannya berhubung PH terbabit dalam agenda “mengkristiankan Malaysia”.
Laporan itu dibuat Pengarah Strategi PH, Bryan Ng dan Pengarah Komunikasi Pemuda PKR, Syaril Showkat Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Dalam laporannya, Ng berkata, petikan ucapan Muhyiddin dalam ceramah baru-baru ini tular di TikTok. Bekas perdana menteri itu dipercayai membuat dakwaan itu dalam sebuah ceramah di Parit Jawa, Johor, pada 16 Nov lalu.
“Muhyiddin kata mengundi PH berbahaya kerana PH menaja gerakan Yahudi dan terdapat (agenda) Kristianisasi di Malaysia,” menurut laporannya.
Ng berkata, kenyataan Muhyiddin itu adalah dakwaan berunsur fitnah dan tidak berasas yang menyentuh sensitiviti agama.
Dalam sidang media di luar IPD Dang Wangi, beliau menggesa Muhyiddin menyerahkan bukti kepada polis, jika benar PH dikaitkan dengan gerakan sedemikian.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan memfailkan saman sivil terhadap Muhyiddin.
Dalam rakaman sebuah ceramah di Johor pada Khamis, Muhyiddin mendakwa sekumpulan Yahudi mahu PH menang esok dan mendakwa PH bekerjasama dengan Yahudi dan orang Kristian untuk “menjajah” negara.
Dalam rakaman tular itu, bekas perdana menteri terbabit turut mendakwa ada orang Melayu ke gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada Ahad.
Majlis Gereja-gereja Malaysia membidas Muhyiddin atas dakwaan itu, manakala Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, parti itu bercadang memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan