DR. SHAHNOR BASRI
Penulis terpanggil pada hari terakhir sebelum pengundi mengambil pena dan memutuskan pilihan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Sama ada BN, PN atau PH.
Itu sahaja gabungan yang agak dominan.
Gerakan Tanah Air yang dipelopori oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dari parti Pejuang (serpihan Bersatu) adalah blok yang boleh dikatakan tidak signifikan dalam arus perdana politik negara masa kini.
Pelbagai warna-warni telah belaku pasca PRU-14 yang menyaksikan; Pertukaran 3 Perdana Menteri, pengkhianatan mandat rakyat, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, pengisytiharan darurat kesihatan/politik, perjanjian MOU antara Kerajaan-Pembangkang, dan pembentangan Akta Anti Lompat Parti yang akhirnya dilulus di Parlimen.
Dunia turut memerhati kejijikan rampasan kuasa dan pembentukan kerajaan melalui pengkhianatan yang dipelopori oleh pengkhianat dari dalam Pakatan Harapan dan Umno yang sepatutnya telah faham erti demokrasi selepas memerintah lebih 60 tahun.
Serta tidak ketinggalan Parti Islam (Pas) yang mengambil kesempatan untuk berkuasa.
Dalam tempoh tersebut kita mempunyai dua orang perdana menteri yang amat lemah dari segi pendekatan menghadapi pandemik serta ekonomi sehingga masyarakat terus terhimpit pada ketika itu dengan kehidupan yang parah.
Manakala seorang lagi amat lemah dari sudut pentadbiran dan pengurusan negara, bahkan tiada kemampuan diplomatik di peringkat antarabangsa.
Oleh kerana kedudukannya hanya seorang naib presiden parti yang beliau wakili, maka beliau adalah PM Remote Control yang tampaknya tiada visi dan misi dalam membuat keputusan.
Keributan dalam pentadbiran menarik perhatian profesor dan cedekiawan Melayu dari G70
Senario ini menyebabkan beberapa profesor, mantan profesor dalam kalangan cendekiawan Melayu telah nekad menilai situasi.
Cendekiawan yang terkumpul ini bukanlah cendekiawan ‘kangkung’ atau ‘rojak campur’.
Mereka memikirkan masa depan negara melangkaui batasan politik kepartian.
Mereka faham betapa bobrok dan rakusnya penguasa selama lebih 60 tahun memerintah dan betapa bangsa dijadikan cagaran yang membibitkan perpecahan kaum serta menunggang agama untuk hanya berkuasa.
Keparahan ekonomi dan sektor industri yang diramal bakal melanda dunia mulai tahun 2023 adalah kegusaran para cendekiawan Melayu.
Selain itu, anak muda yang tiada pekerjaan dengan pendapatan yang penuh ihsan dan rahmah, ketiadaan pelan ekonomi dan dasar yang kukuh untuk bebas dari kemelut ekonomi, pasaran antarabangsa, tiada inisiatif pelaburan jangka panjang dan pendek, tiada pelan industri masa hadapan bagi menyaingi gergasi ekonomi baharu seperti Indonesia, Vietnam dan Kemboja; adalah kegusaran dan kebimbangan para cendikiawan.
Pasca pandemik Covid-19 selepas berlaku pembentukan kerajaan secara ‘tidak sah’ melalui langkah Sheraton, industri hanya memberikan jelingan sinis kepada Malaysia.
Keyakinan terhadap pemerintah berada pada tahap amat minima kerana skandal 1MDB, rasuah dan tatakelola kerajaan yang sentiasa dipersoalkan.
Tambahan apabila indeks rasuah yang mencanak naik selepas berjaya diturunkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, menjadikan kurangnya keyakinan pelabur antarabangsa untuk melabur.
Rasuah dan kleptokrat yang melanda menipiskan lagi kepercayaan mereka.
Sama ada Mahiaddin mahupun Ismail Sabri, keduanya hanya mahu duduk di tampuk kekuasaan tanpa memikirkan kelangsungan hidup rakyat dalam merancang masa hadapan negara keluar dari kepayahan dan kehimpitan kehidupan rakyat pasca pandemik.
Walau kelihatannya ada pendekatan tertentu, tapi jika diteliti secara mendalam ia adalah pendekatan kosmetik semata-mata. Mereka hanya memikirkan kelangsungan politik.
Sebagai cendekiwan prihatin, berjiwa rakyat dan bimbang akan masa hadapan negara, maka mereka wajar bangkit bersuara. Mengambil langkah berani.
Mereka terdiri dari nama-nama besar dan utama dalam dunia akademik dalam pelbagai bidang kepakaran. Tiada siapa boleh mempersoalkan kesarjanaan anggota G70.
Mereka mempunyai kredibiliti tersendiri, bebas berfikir sebagai saintis dan penyelidik serta daya-olah yang credible.
Mereka jugalah yang telah memperkenalkan Malaysia di pelbagai forum dan konferensi antarabangsa.
Mereka membawa nama Malaysia, dalam penglibatan di pentas antarabangsa. Mereka bukanlah pengkhianat.
Jiwa besar cendekiawan selepas meneliti, mengkaji, melakukan brain storming, berbahas dengan panas dan yang lebih penting selepas melihat ke hadapan, mereka akhirnya membuat rumusan yang bertanggungjawab.
Walau ada tohmahan dengan menyatakan beberapa cendekiawan ini mewakili kelompok tertentu, itu adalah hak Perlembagaan sebagaimana juga di dalam Majlis Professor Negara, yang juga terdiri dari pelbagai kelompok dari pelbagai latarbelakang.
Itu adalah hak berperlembagaan yang tercatat dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan: Kebebasan bersuara.
Ini perlu difahami dan dihayati. Mengongkong minda cendekiawan adalah langkah terkebelakang dan cubaan mengkebirikan minda bebas.
Cendekiawan Barat John Stuart Mill dalam makalahnya menulis, bahawa kemajuan dan pembangunan mapan hanya akan berlaku dengan penuh keadilan dan kesaksamaan antaranya dengan mengamalkan hak kebebasan bersuara dalam perdebatan/perbincangan massa untuk merumus solusi kepada negara.
Beliau berkata: “social and scientific progress occurs through vigorous debate involving opposing points of view. To generate different points of view, people must have freedom of thought and speech. Progress cannot occur if the majority uses its power to suppress minority viewpoints.”
Dengan keterlibatan kementerian berkaitan dengan Pengajian Tinggi dan perdana menteri sendiri menggambar kita mempunyai minda berkarat, minda untuk mengongkong dan minda menjajah.
Sama ada secara individu atau kumpulan ataupun oleh MPN, semua lapis dan kelompok rakyat boleh menggariskan panduan sebagai solusi masa hadapan negara yang bebas dan terbuka.
Deklarasi G70
Tugas cendekiawan adalah memberikan pandangan, panduan dan hala tuju berasaskan data, penelitian dan bukti-bukti saintifik. Inilah yang berlaku dalam deklarasi G70.
G70 merumuskan bahawa bagi menyelamatkan negara dan keluarga dari krisis tidak menentu di masa hadapan, maka sebuah kerajaan yang telus, berintegriti, bertatakelola baik, mengamalkan ‘good practice’ dan bebas rasuah hendaklah dibentuk selepas PRU-15.
Satu kumpulan pentadbiran baharu negara yang mahukan perubahan total (total change) dalam sistem wajib mengetuai pemerintahan.
Ia hendaklah pula dipimpin oleh seorang yang berilmu, berpengetahuan, tegas, cintakan keadilan, kebebasan berfikir, memacu strategi ekonomi baharu di zaman mencabar menjelang 2023, menyantuni kehidupan rakyat terjejas, menyediakan ruang perkerjaan yang penuh ihsan dan rahmah, mempromosi tatakelola baik dalam pentadbiran dan pengurusan negara.
Sosok itu adalah seorang yang berfikrah terbuka, menyantuni cendekiawan, terbukti dan teruji, rangkaian strategik yang amat luas (U.Kingdom, Negara Arab, Turki, Indonesia, China, Singapura dll.).
(Sosok itu juga mempunyai) kerajinan menelaah, menganalisis dan merungkai permasalahan rakyat dengan pemikiran strategik, mampu mengembalikan maruah negara dari sudut pandang politik, ekonomi dan peradaban.
Bekas menteri kewangan terbaik Asia dan 4 tokoh menteri kewangan terbaik dunia pada zamannya dan seorang yang cakna rakyat berbilang bangsa, kaum, etnik dan agama (jiwanya rakyat keseluruhannya).
Sosok ini sosok yang berkualiti dengan sifat kepimpinan, quwwah (kekuatan) dan Amanah.
Pemimpin sedia ada sekarang, tiada kualiti pada ciri-ciri disebutkan di atas menurut kajian dan analisis para cendekiawan Melayu. Jauh lagi untuk diberikan ruang untuk mengetuai pentadbiran.
Maka pilihan G70 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, memang cocok dan layak untuk diangkat di posisi yang sesuai dengan kualiti dirinya.
Seperti kata cendekiawan Sains Politik Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, beliau bangga menjadi antara 70 profesor Melayu yang meyokong Anwar sebagai PM ke10 kerana mahu melihat perubahan dalam negara.
Malah, kesemua cendekiawan Melayu yang terdiri daripada profesor, mantan atau cendekiawan berpengalaman, mendokong deklarasi ini: Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM10.
Semoga Allah makbulkan dan selamatkan negara ini dari pemerintahan berteraskan kleptokrat, penunggang agama dan pencetus perpecahan kaum.
(*) Penulis merupakan Fellow Islamic Academy of Science, yang berpengkalan di Jordan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan