"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS memang tiada hasrat bentuk k'jaan dengan Bersatu - Rafizi

Kow Gah Chie

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa PAS tiada hasrat untuk membentuk kerajaan bersama Bersatu selepas PRU15.

Rafizi berkata ini kerana PAS tahu PN - gabungan parti itu bersama Bersatu - tidak akan menang dalam PRU kali ini.

"Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kena scam. PAS tidak ada niat pun untuk bentuk kerajaan dengan PN," katanya kepada kira-kira 700 hadirin dalam ceramah di Kajang, Selangor malam tadi.

Dia membuat kesimpulan itu atas asas PAS menggunakan logo partinya, bukan PN, untuk bertanding di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Calon Parlimen Pandan itu berkata mana-mana gabungan politik yang dibina daripada "pengkhianatan" akhirnya akan berdepan pengkhianatan.

"Muhyiddin ingat PAS bersama (partinya), PAS ini sebenarnya scam Bersatu dalam PN. Bersatu banyak duit, Muhyiddin banyak duit. Cuba tengok bahan kempen PRU, memang Bersatu paling ke depan.

"Bendera besar, semua besar. Tak cukup dengan semua itu, mereka boleh bayar influencer RM20,000 hingga RM50,000," dakwa Rafizi lagi.

Beberapa hari lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan tidak menolak kerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan jika PN gagal membentuk kerajaan secara sendiri.

Bagaimanapun kenyataan itu disanggah Muhyiddin yang berkata dia tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin dalam perkara itu.

Ceramah semalam dilihat bertujuan meraih sokongan penjawat awam yang mengundi di Putrajaya dan Sepang.

Putrajaya dipegang pemimpin Umno Tengku Adnan Tengku Mansor sejak kerusi Parlimen itu diwujudkan pada 2004.

Kali ini, dia dicabar calon PH Noraishah Mydin Abdul Aziz dalam pertembungan enam penjuru.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Aminuddin Harun dalam ucapannya cuba menjarakkan PH dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dia yang bertanding di Parlimen Port Dickson menggesa penjawat awam untuk melupakan sebarang kontroversi sepanjang 22 bulan pentadbiran PH di bawah Mahathir.

"Lupakan 22 bulan itu kerana ketika itu kita ditadbir oleh orang tua yang cukup munafik yang tidak tunai janji dia.

"Kalau kita ditadbir Anwar Ibrahim, saya yakin pentadbiran dan negara akan lebih baik," katanya lagi.

Tiada ulasan: