"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tian Chua ugut saman Prabakaran

Tarik balik dakwaan atau tunggu saman, Tian Chua beritahu Prabakaran

Sean Augustin

PETALING JAYA: Bekas naib presiden PKR Tian Chua memberi masa 24 jam kepada seorang calon Pakatan Harapan (PH) untuk menarik balik dakwaan bahawa beliau menyekat Pengerusi PH Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri.

Beliau mahu penyandang Parlimen Batu P Prabakaran menerbitkan permohonan maaf terbuka, atau tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya, menurut surat tuntutan daripada peguamnya, Gurmukh Singh daripada G Sandhu, Kabina & Associate.

Gurmukh memberitahu FMT, laporan polis juga mungkin dibuat terhadap Prabakaran.

Tambahnya, mereka sedang mempertimbangkan untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Menurut peguam itu, Tian Chua, yang bertanding di kerusi Batu sebagai calon bebas, telah menandatangani akuan berkanun sebelum pencalonan bahawa beliau akan menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri sekiranya PH dapat memerintah.

Prabakaran didakwa berkata, Tian Chua bersedia untuk “menarik sokongan” daripada PH di Batu untuk menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri, lapor Malaysiakini semalam.

Beliau juga didakwa berkata, kenyataan Tian Chua bahawa “satu undi untuk saya (Chua) adalah satu undi untuk Pakatan Harapan” akan mengelirukan penyokong PH.

“Kenyataannya mengelirukan pengundi dan menghalang PH daripada menang dan menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri,” katanya dipetik portal itu.

Tiada ulasan: