"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRU15: PN dan PH bersaing sengit di Kedah, BN sekadar di pinggiran

N Faizal Ghazali

PRU15 | Masa yang berbaki semakin suntuk, dan setakat ini petunjuk mengisyaratkan tiada parti boleh meletakkan keyakinan penuh bahawa mereka mampu memenangi banyak kerusi di Kedah.

Pemerhatian Malaysiakini setakat ini mendapati persaingan sengit di negeri Jelapang Padi itu lebih membabitkan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua gabungan itu mendominasi di kubu kuat masing-masing dalam usaha mempertahankan kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Melalui pemerhatian didapati sokongan terhadap PN menunjukkan mereka berpeluang untuk mempertahankan kerusi parlimen Sik dan Jerai, manakala PH dijangka mempertahankan Alor Setar, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Pokok Sena dan Kulim Bandar Baharu.

Pun begitu gerakan PH mencari kemenangan sebanyak mungkin mungkin terganggu sedikit dengan perkembangan terbaru di Padang Serai. Kematian mengejut calon PH, M Karupaiya, mungkin akan menjejaskan rentak mereka.

Selain itu terdapat sekurang-kurangnya lima kerusi berstatus 'kelabu' dengan peluang 50-50 bagi PN dan PH termasuk di Jerlun, Kubang Pasu, Pendang, dan Baling.

Di Jerlun penyandangnya Mukhriz Mahathir dilihat agak bergelut untuk menyaingi sokongan terhadap calon PN, Abd Ghani Ahmad, selain Othman Aziz (BN) serta Mohamed Fadzil Mohd Ali (PH).

Pertandingan empat penjuru itu memberi cabaran besar kepada Mukhriz yang mewakili Pejuang untuk selesa berdepan lawan-lawannya.

Selain itu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pula dijangka masih mampu mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi dan saingan terdekatnya setakat ini ialah daripada calon BN, Armishah Siraj.

Tinjauan Malaysiakini sebelum ini mendapati sentimen Mahathir sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada pulau legenda Mahsuri itu masih menebal.

Bagi Parlimen Kubang Pasu juga menjadi kerusi tumpuan walaupun penyandangnya Amiruddin Hamzah menang dengan majoriti besar dalam PRU ke-14.

Setiausaha Agung Pejuang itu mendapat tentangan hebat daripada calon BN, Hasmuni Hassan yang juga dilihat berpotensi untuk menawan kembali kubu kuat BN itu.

Justeru kerusi Kubang Pasu boleh dianggap sebagai salah satu harapan terbaik BN untuk meraih kemenangan kali ini.

Pada masa sama BN kelihatan sukar untuk bangkit daripada kekalahan besar pada PRU apabila sokongan kepada parti-parti lawan mereka menunjukkan peningkatan.

Oleh kerana itu didapati BN sedang bergelut untuk sekurang-kurangnya mengekalkan kemenangan di dua kerusi yang disandang mereka iaitu Baling dan Padang Terap.

Bagaimanapun pertandingan lebih tiga penjuru menjadikan sukar menjangka hasil akhir pada Sabtu ini, lebih-lebih lagi untuk menebak kencederungan pengundi muda yang akan memangkah kertas undi buat pertama kali.

Di kawasan Padang Terap Umno mempertaruhkan naib presiden mereka, Mahdzir Khalid. Di atas kertas dia kelihatan tidak menerima tekanan berat daripada calon parti-parti lawan.

Namun jika rekod 1,099 majoriti undi berpihak padanya pada PRU 2018 dijadikan kayu ukur, Mahdzir tidak boleh selesa khususnya berdepan saingan calon PN yang mempertaruhkan Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Abd Hamid.

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof, berpandangan situasi semasa di Kedah menyaksikan momentum sokongan rakyat kepada PN dan PH.

"Di Kedah saya lihat persaingan sebenar adalah di antara PN dan PH. Dari segi momentum sokongan di peringkat akar umbi, kelebihan berpihak kepada PN.

"Ia dibantu dengan kempen-kempen pemimpin utama PN yang turun membantu calon-calon mereka di Kedah.

"Begitu juga komitmen ditunjuk Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) yang aktif turun padang untuk berkempen," katanya.

Pada masa sama, kata pensyarah Pusat Sains Liberal Unimap itu lagi, BN tidak kelihatan membawa pemimpin tertinggi mereka ke Kedah untuk membantu parti terbabit.

Dua nama yang disebut Izmer ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan timbalannya Mohamad Hasan.

Untuk rekod kedua-dua nama terbabit kini turut sibuk berkempen di kawasan masing-masing. Jika Ahmad Zahid di Bagan Datuk, Mohamad pula mencuba nasib di kerusi yang ditinggalkan oleh Khairy Jamaluddin di Rembau.

Memang agak mengejutkan untuk melihat BN berada pada keadaan sekarang ketika di negeri lain parti itu dianggap garang untuk mencari sebanyak mungkin kerusi.

Lebih menarik ialah bagaimana PN mampu menonjol melebihi populariti BN.

Dari satu sisi ia menunjukkan percaturan parti komponen PN dalam PRU kali ini agak menjadi di Kedah. Atau dalam bahasa lain gabungan itu memilih strategi pemasaran yang berkesan untuk 'menjual' sebuah produk baru bernama PN.

Namun pada masa sama parti-parti komponen dalam PN tidak boleh terlalu gembira. Hal itu kerana dalam konteks semasa di Kedah, PN itu sendiri ialah PAS, manakala Bersatu kelihatan masih mencari rentak tarian di atas tanah yang tidak rata.

Tiada ulasan: