"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ramalan PRU15 oleh enam badan penyelidikan

Malaysiakini 

Menjelang hari mengundi pilihan raya umum (PRU) ke-15 esok, pelbagai ramalan oleh badan penyelidikan dikeluarkan, dengan harapan dapat menjelaskan kemungkinan pemenang.

Beberapa ramalan adalah berdasarkan jumlah keseluruhan 222 kerusi parlimen, manakala sebahagian lagi berdasarkan 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

Susulan kematian calon Padang Serai M Karupaiya, dan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa pengundian bagi kerusi itu ditangguhkan kepada 7 Dis, jumlah keseluruhan kerusi parlimen pada PRU ke-15 kini berkurangan kepada 221.

Malaysiakini meneliti enam kajian - empat organisasi tempatan dan dua organisasi luar negara - untuk meringkaskan senario yang mungkin bagi landskap politik negara selepas hari pengundian pada Sabtu.

Tiga daripada kajian itu meramalkan kemenangan buat Pakatan Harapan (PH) manakala tiga lagi memihak kepada BN.

Walaupun pandangan berbeza, semua tinjauan berkongsi satu ramalan sama - tiada gabungan yang akan menguasai majoriti mudah (sebelum ini 112 kerusi, tetapi kini 111, selepas mengecualikan Padang Serai) untuk membentuk kerajaan sendiri. Berikut adalah dapatan kajian:

Ilham Center - PH mendahului

Menurut tinjauan yang dilakukan oleh pusat penyelidikan bebas ini, PH mendahului perlumbaan, dengan BN dan Perikatan Nasional (PN) berebut kerusi majoriti Melayu.

Tinjauan yang dijalankan secara bersemuka dalam kalangan 1,211 responden di seluruh negara antara 30 Okt hingga 17 Nov, juga mendapati PRU ke-15 akan menjadi pemangkin kepada pembentukan "Borneo Bloc".

Menurut Ilham Centre, PH akan menawan 86 kerusi parlimen daripada 221 yang dipertandingkan.

BN diramalkan menawan 51 kerusi, manakala PN diramal menang di 25 kerusi. Sebanyak 26 kerusi dijangka menyaksikan saingan sengit 50-50.

Mengulas lanjut, penyelidikan itu berkata taktik BN meletakkan 80 peratus muka baru akan 'makan tuan'.

Manakala Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri gabungan itu adalah "selling point" terbesar PH yang boleh memberikannya kemenangan pada pilihan raya.

Emir Research - PH menang di 94 kerusi

Menurut unjuran Emir Research, PH akan memperoleh 94 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia, manakala BN akan memperoleh kurang daripada separuh daripada jumlah itu, iaitu 46.

Sementara itu, PN diramalkan menang 24 kerusi manakala gabungan yang diterajui bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Gerakan Tanah Air (GTA) dijangka hanya menang satu kerusi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research Rais Hussin berkata unjuran itu berdasarkan kadar keluar mengundi sebanyak 77 peratus.

Daripada keputusan yang diramalkan, terdapat 41 kerusi yang dikategorikan di bawah kategori "close call", iaitu saingan sengit dengan pemenang menang dengan majoriti sekitar 1,000 undi.

Emir meramalkan Johor, Perak, dan Melaka akan dimenangi PH, manakala negeri seperti Terengganu dan Kelantan akan kekal bersama PN. Pahang pula dijangka dikekalkan di bawah BN, selepas saingan sengit dengan PH.

Invoke - PH menang

Menurut tinjauan Invoke, PH akan memenangi 91 kerusi, manakala BN dan PN masing-masing dengan 50 dan 41 kerusi. Baki kerusi dijangka dimenangi GPS (Gabungan Parti Sarawak - 30), Warisan (enam), dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah - empat).

Kajian itu meramalkan Perak akan dimenangi PH dengan jumlah 15 kerusi, manakala BN dan PN masing-masing memperoleh tujuh dan dua kerusi.

Johor juga diramal dimenangi PH dengan gabungan 13 kerusi, manakala BN dan PN masing-masing mendapat 10 dan satu kerusi.

Malaysian Institute of National Development (Mind) - pemenang BN

Menurut penyelidikan kumpulan ini, BN akan menang PRU ke-15 kerana perpecahan undi.

Para penyelidik secara rawak meninjau 1,000 pengundi melalui panggilan telefon, di 166 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia.

Menurut ketua penyelidik Helmy Ishak, ramalan itu berdasarkan dua senario - yang pertama ialah jumlah pengundi yang sama, atau lebih rendah berbanding pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.

Senario kedua pula melibatkan pengundi luar negara yang pulang mengundi, mengikut corak pengundian pengundi luar kawasan dalam dua PRN itu.

Berdasarkan senario pertama, Mind meramalkan BN akan memenangi 75 kerusi, manakala PH dan PN masing-masing memperoleh 54 dan 36 kerusi. Pejuang dijangka memenangi satu kerusi.

Senario kedua pula meramalkan BN akan memenangi 65 kerusi, diikuti PH, PN, dan Pejuang dengan masing-masing 56 kerusi, 44 kerusi, dan satu kerusi.

Tinjauan itu membuat kesimpulan bahawa walaupun tiada satu gabungan boleh memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, BN boleh mempunyai kelebihan berbanding gabungan lain, selepas berganding bahu dengan parti Sabah dan Sarawak.

Fitch Solutions Country Rosk and Industry Research - BN menang, bentuk kerajaan

Tinjauan oleh cabang penyelidikan agensi penarafan kredit AS Fitch Solutions meramalkan BN akan memenangi PRU ke-15, walaupun masih terdapat risiko parlimen tergantung.

Jika kemenangan BN pada PRN Melaka dan Johor adalah petunjuk, BN berkemungkinan telah memperoleh semula momentum politik dalam kalangan pengundi, kata penyelidikan itu.

FMT melaporkan firma itu sebagai berkata bahawa BN adalah gabungan paling lama memerintah negara dan hakikat itu akan memanfaatkannya kerana pengundi akan melihatnya sebagai mempunyai "pengalaman mentadbir".

Tinjauan itu selanjutnya menyatakan bahawa populariti PH merosot sejak PRU 2018, dan kebarangkalian gabungan itu, serta PN memenangi PRU15, adalah di bawah 25 peratus.

Antara lain, Fitch meramalkan sebaik sahaja BN memenangi Putrajaya, ia akan memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Unit Perisikan Ekonomi (EIU) - BN menang, Ismail Sabri dilantik semula sebagai PM

Menurut kajian bahagian penyelidikan dan analisis Kumpulan Ekonomi di United Kingdom ini, BN akan memenangi PRU ke-15 dan perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob dijangka dilantik semula sebagai perdana menteri.

Dalam satu kenyataan, pakar ekonomi utama EIU, Fung Siu berkata walaupun BN berkemungkinan membentuk kerajaan, gabungan itu tidak akan mendapat cukup kerusi untuk mendapat majoriti dua pertiga.

Menurutnya, penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun di bawah inisiatif Undi18 tidak memberi kesan kepada corak pengundian pengundi, kerana pengundi akan kembali kepada keutamaan berasaskan kaum.

Untuk rekod, inisiatif Undi18 bersama pendaftaran pemilih automatik telah membawa kepada anggaran 6.23 juta pemilih baru berdaftar untuk PRU ke-15.

Tiada ulasan: