"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa Anwar Ibrahim perlu ditabalkan sebagai PM Malaysia kali ini?

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Dalam PRU15 ini, pada hemat saya, hanya tiga gabungan parti politik sahaja yang dilihat bersaing agak secara saksama meskipun wujudnya gabungan parti politik seperti Gabungan Tanah Air (GTA) atau parti yang agak berpengaruh khususnya di Sabah seperti parti Warisan dan juga wujudnya beberapa calon bebas di beberapa kerusi .

Tiga gabungan politik yang dilihat dominan dalam PRU-15 ini adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri depa meskipun Presiden Umno-BN yang hakikatnya “running the show” jika diambil kira senarai calon yang dilihat majoritinya adalah “orang-orang presiden!”

PN pula mempertaruhkan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai calon PM depa.

Suka atau tidak suka, calon ini ada sejarah buruk terlibat dalam “festival” pengkhianatan undi rakyat yang menyokong dia dan partinya (Bersatu) untuk bersama PH mentadbir negara ini selepas PRU-14.

The essence of betrayal is untrustworthiness – “Essensi pengkhianatan adalah ketidakbolehpercayaan.”

Dalam bahasa rakyat; “Pengkhianatan melibatkan pemimpin yang tak boleh dipakai”

PH pula menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM untuk rakyat Malaysia.

Jika calon PM dari BN dan PN mendapat manfaat melalui keterlibatan depa dalam ”festival’ pengkhianatan undi rakyat, Anwar Ibrahim pula sebaliknya.

Anwar menjadi mangsa hasil ‘festival’ pengkhianatan jahat itu.

Dari ketiga-tiga calon itu rakyat Malaysia belum lagi memberi peluang kepada Anwar sebagai PM depa.

Dalam PRU-14, telah hampir Anwar ditabalkan tetapi beliau dikhianati!

Mengapa tidak kita semua memberi Anwar peluang kali ini? InsyaAllah dengan wujudnya undang-undang anti lompat (Alhamdulillah saya terlibat secara langsung dalam merangka undang-undang itu melalui jawatankuasa pilihan bipartisan), ‘festival’ pengkhianatan kini sudah menjadi sejarah!

Jika dilihat dan diukur dari pelbagai dimensi khususnya dimensi kewibawaan dan keterampilan, saya tidak rasa sesiapa jua boleh menafikan Anwar jauh mengatasi kedua-dua calon PM dari BN dan PN apatah lagi menurut pandangan masyarakat antarabangsa.

Saya percaya Anwar mempunyai komitmen dan political will yang amat tinggi untuk membawa perubahan yang positif kepada negara ini

Mengapa saya kata begitu?

Saya kata begitu kerana, antaranya melihat komitmen beliau yang jitu dalam melakukan transformasi atas partinya sendiri.

Dalam PRU ini -beliau dengan dibantu oleh saudara Rafizi- tidak gentar memastikan semua calon PKR wajib mengisytiharkan harta.

Perlu ditekankan di sini filsafat pengisytiharan harta adalah ketelusan kepimpinan!

Anwar juga berani melakukan proses transformasi proses pemilihan dalam parti PKR dengan melibatkan semua ahli parti untuk bersuara dalam memilih kepimpinan parti.

Bagi saya, proses pemilihan sebegitu lebih layak dipanggil ‘a truly representative democracy!’

Ya, jika kita bercakap soal pemilihan dalam parti yang lebih demokratik, proses pemilihan dalam PKR itu ada merit yang kuat walaupun ada juga kelemahan di sana sini.

Bagi saya kewujudan komitmen Anwar itu yang patut dinilai!

Dalam konteks kesungguhan dan keseriusan mengurus parti, saya juga tertarik dengan komitmen beliau. Saya difahamkan PKR mengadakan mesyuarat biro politik partinya pada setiap minggu!

Saya pernah mencadangkan idea yang sama pada parti saya -AMANAH. Malangnya ia masih belum dapat direalisasikan. Tidak pasti mengapa?

Kenapa ia boleh direalisasikan dalam PKR? Bagi saya antaranya kerana komitmen dan political will yang tinggi yang ada pada Anwar.

Saya percaya arwah Tok Guru Nik Aziz tidak silap kerana meyakini Anwar adalah calon terbaik sebagai PM Malaysia.

Tiada ulasan: