Mentua lawan presiden PAS, Muaz berdepan 'gergasi Umno'
N Faizal Ghazali
Ketika tempoh berkempen semakin tiba penghujung, calon PH bagi kawasan parlimen Padang Terap, Muaz Abdullah, kekal bersemangat walaupun tokoh yang dicabarnya bukan sembarangan.
Ketua Pemuda Amanah Padang Terap itu berkata, dia sedar kelebihan kini berada di pihak penyandang kerusi tersebut, Mahdzir Khalid.
Namun, kata pemuda berusia 25 tahun itu, dia mendapat suntikan semangat apabila melihat bapa mentuanya, Azhar Ab Shukur, juga berdepan saingan besar apabila mencabar Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Marang.
"Ketika ayah (Azhar) mencabar 'gergasi PAS', saya pula berdepan 'gergasi Umno', tapi bagi saya ini satu cabaran dan pengalaman baru.
"Ini juga langkah berisiko yang saya ambil untuk memahami makna berani.
"Dengan sokongan dan dukungan semua termasuk jentera PH yang tidak jemu membantu sepanjang kempen, ia memberi keyakinan dan semangat untuk kami terus menjalankan misi mengubah Padang Terap," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui semasa berkempen hari ini.
Mahdzir merupakan menteri besar kelapan Kedah dan kini menjadi salah seorang naib presiden Umno.
Selain Mahdzir, Muaz juga berdepan tentangan Nurul Amin Hamid yang mewakili PN dan Razali Lebai Salleh (Pejuang).
Pada PRU ke-14 lalu, Mahdzir mempertahankan kerusi Padang Terap dengan majoriti 1,099 undi.
Muaz berkata, sebagai anak tempatan dia melihat lansdkap dan geopolitik di kawasan itu berbeza berbanding di kawasan bandar yang lebih bersifat terbuka dalam menzahirkan sokongan.
"Di sini ada sentimen pengundi yang tidak berani menonjolkan diri menyatakan sokongan secara terang-terangan, sebaliknya secara senyap. Ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi nanti.
"Dengan tempoh kempen yang berbaki ini kami akan jumpa seramai mungkin pengundi.
"Saya bertanding pada usia muda ini bukan untuk suka-suka atau nak menunjuk, sebaliknya memikul tanggungjawab untuk mengubah negara," ujarnya.
Tambahnya, aura Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri ke-10 juga membantu dia mendapat reaksi balas positif daripada pelbagai peringkat pengundi.
"Kita lihat bukan saja disambut baik orang muda, tetapi juga dalam kalangan usia pertengahan serta warga emas.
"Depa (mereka) berhasrat supaya kali ini dapat beri mandat kepada Anwar," kata Muaz lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan