FMT Reporters
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki dikatakan bekas suami penyanyi dangdut memukul seorang wanita.
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dikatakan bekas suami kepada penyanyi dangdut popular didakwa membelasah wanita dipercayai isteri baharunya.
Perbuatan lelaki itu dirakam seorang individu sebelum ia dimuat naik di media sosial sehingga tular semalam.
Rakaman berdurasi satu minit tujuh saat itu menunjukkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa diheret dan di tendang berkali-kali di muka serta badan.
Ia juga memaparkan kanak-kanak perempuan menangis sambil mengangkat tangan sebagai tanda memohon maaf kepada individu itu.
Individu yang memuat naik video itu berkata, laporan polis sudah dibuat dan mangsa kini trauma.
“Dia (mangsa) dengan anak akan dikurung di rumah, jika tersilap akan dipukul. Saya yang muat naik video itu.
“Wanita bertudung yang dalam video itu adalah orang gaji yang turut di bantai (pukul) lelaki terbabit,” katanya menurut Harian Metro.
Sementara itu Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, mengesahkan kejadian.
“Kami sudah terima laporan dan membuka kertas siasatan. Tindakan lanjut sedang diambil,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan