FAZLI RADZI
Seramai 70 profesor Melayu sepakat memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu-satunya tokoh berwibawa, berpengalaman dan berintegriti sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU-15 ini.
Menerusi Deklarasi Profesor Melayu (G70) yang dikeluarkan hari ini, mereka menegaskan bahawa Anwar paling mampu memimpin masyarakat majmuk berteraskan Islam sebagai agama persekutuan dan memulihkan reputasi negara di mata dunia.
Gabungan ilmuwan juga berkata, Anwar bersama Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya merupakan pilihan terbaik untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi masa kini kepada kesejahteraan rakyat pada masa hadapan, dan dalam masa yang sama menjamin keutuhan agama Islam serta kepentingan Melayu dan peribumi.
Sehubungan itu, G70 menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan supaya menggunakan hak dan tanggungjawab memilih pada PRU-15.
Jurucakap G70, Prof Datuk Dr Ir. Wan Ramli Wan Daud berkata, pengundi mesti memilih pakatan politik yang mendukung perpaduan nasional seluruh rakyat dan keadilan masyarakat, serta mengundi calon-calon yang memiliki prinsip integriti, amanah serta bebas dari amalan rasuah.
“Rakyat Malaysia mesti memilih calon-calon daripada pakatan politik yang memiliki iltizam bagi membina sebuah kerajaan yang berteraskan prinsip tata kelola yang baik serta bertekad memerangi sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa terhadap kepentingan rakyat dan negara.
“Rakyat Malaysia diseru agar mendukung calon-calon daripada pakatan politik yang bertekad mengembalikan maruah negara, membina semula keyakinan pelabur, mengukuhkan kedudukan mata wang, membaik pulih ekonomi dan seterusnya membina semula penghormatan dunia terhadap negara,” katanya.
Dalam masa sama, G70 meyeru rakyat Malaysia agar menolak calon-calon daripada pakatan politik yang didapati telah mengkhianati amanah demokrasi dan menyalahgunakan kedudukan politik sebagai medan memenuhi kepentingan diri dan kumpulan.
“Rakyat Malaysia diseru agar menolak calon-calon yang menggunakan fitnah bagi meraih sokongan pengundi dan mengeksploitasi sentimen agama serta kaum, dengan melaga-lagakan rakyat berbilang bangsa dan budaya, demi meraih keuntungan politik kepartian masing-masing,” tambah G70 lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan