"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

14 lelaki merusuh bersenjata parang, kayu didakwa

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
Seramai 14 individu yang berdepan pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki dengan menggunakan parang serta kayu dan memiliki senjata berbahaya di tempat awam tiba di Mahkamah Butterworth, hari ini. FOTO Nur Izzati Mohamad
Seramai 14 individu yang berdepan pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki dengan menggunakan parang serta kayu dan memiliki senjata berbahaya di tempat awam tiba di Mahkamah Butterworth, hari ini. FOTO Nur Izzati Mohamad
Butterworth: Empat belas lelaki termasuk tiga remaja bawah umur dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencederakan seorang lelaki dengan parang serta kayu dan memiliki senjata berbahaya, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, kesemua mereka berusia antara 15 hingga 51 tahun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua mereka secara bersama didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang mempunyai tujuan sama untuk mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 21 tahun.

Ia apabila sekumpulan mereka menggunakan parang dan kayu hingga menyebabkan mangsa mengalami cedera parah dalam kejadian terbabit.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka secara berasingan didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang di tempat awam tanpa sebarang maksud yang sah.

Kedua-kedua kesalahan itu didakwa dilakukan berhadapan sebuah premis di Lorong Bunga Raya 2, Taman Bunga Raya dalam daerah Seberang Perai Utara, di sini, pada 7.15 petang 3 Mei lalu. Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail, Lee Jun Keong dan Mohd Azhar Hamzah, manakala enam tertuduh diwakili peguam Rafael Abdullah, namun lapan lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Nor Aini membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing RM20,000 dan RM28,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang daripada 14 tertuduh turut didakwa melakukan pemerasan sehingga menyebabkan mangsa lelaki berusia 38 tahun berada dalam ketakutan.

Ia selepas tertuduh yang juga pengusaha kedai kopi, Bee Hooi Siang, 51, dikatakan mahu membunuh mangsa yang secara curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang RM10,000 ke dalam akaunnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Gajah, di sini, pada 8.13 pagi 3 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin, namun Nor Aini membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada 1 dan 15 haribulan setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tiada ulasan: