"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Serang kekasih bekas isteri guna pahat

NOR AINNA HAMZAH

REMBAU – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mencederakan kekasih bekas isterinya dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Pedas Indah, di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga penjawat awam berusia lingkungan 20-an tengah malam semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian pukul 10.30 malam itu, mangsa menemani teman wanitanya yang juga bekas isteri suspek menghantar barangan keperluan anak-anak ke rumah bekas kakak iparnya.

“Mangsa hanya menunggu di dalam kenderaan sebaik sampai di rumah wanita tersebut, namun secara tiba-tiba suspek keluar rumah dalam keadaan marah dan merampas lampin pakai buang yang dibawa sebelum mencampakkan barangan tersebut.

“Mangsa membuka cermin pemandu untuk mendengar perbualan sebelum didatangi suspek lalu menumbuk kepala lelaki itu.

“Mangsa kemudian keluar dari kenderaan untuk bertanyakan sebab dipukul, namun berlaku pergelutan. Suspek masuk ke dalam rumah sebelum membawa keluar sebatang besi dan membaling ke arah mangsa namun terkena kenderaan,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, mangsa dan teman wanitanya kemudian beredar dari lokasi kejadian sebelum membuat laporan polis.

Mangsa mengalami kecederaan bengkak di belakang kepala. Polis memberkas suspek dan merampas pahat yang digunakan. Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah dan empat rekod dadah. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: