"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 PATI lupus harta inap desa kena jel

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
Pendatang asing tanpa izin (PATI) Mohd Aizal Idrus, 28, (Dua kiri/baju biru) dan rakannya Abdul Razak Karim, 34, (Dua kanan/baju Putih) dipenjara 11 bulan atas kesalahan menyimpan dan melupus harta curi dari sebuah inap desa, di sini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Pendatang asing tanpa izin (PATI) Mohd Aizal Idrus, 28, (Dua kiri/baju biru) dan rakannya Abdul Razak Karim, 34, (Dua kanan/baju Putih) dipenjara 11 bulan atas kesalahan menyimpan dan melupus harta curi dari sebuah inap desa, di sini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Tawau: Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) dijatuhi hukuman penjara 11 bulan selepas masing-masing mengaku bersalah menyimpan dan melupus harta yang dicuri dari sebuah inap desa dekat sini, April lalu.

Tertuduh, Mohd Aizal Idrus, 28, yang berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan terlebih dahulu dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mengikut pertuduhan, Mohd Aizal didakwa dengan curang menyimpan harta curi iaitu sebuah televisyen jenama Panasonic milik seorang wanita yang juga pemilik inap desa di Taman Residensi Prima Ranggu, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan mengikut Seksyen 414 pula, Mohd Aizal dan Abdul Razak Karim, 34, secara bersama didakwa dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu sebuah basikal lipat jenama Troy milik wanita sama dengan menjualnya kepada individu lain tidak dikenali di kawasan berhampiran Masjid Mat Salleh, Batu 2 Jalan Apas, dekat sini, kira-kira jam 4 petang 27 April lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh disyaki telah menyewa dan mendaftar masuk di inap desa terbabit kira-kira jam 2 pagi pada 27 April lalu, sebelum pemiliknya membuat laporan polis pada hari sama sebaik menyedari televisyen dan basikal lipat miliknya hilang disyaki dicuri.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berikutan pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh, Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan ke atas mereka bermula dari tarikh tangkapan selain dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan pengusiran ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Bagaimanapun, hukuman penjara ke atas Mohd Aizal berkuatkuasa secara serentak.

Tiada ulasan: