"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Wakil AS yang datang ke sini jangan berlagak sombong’

Malaysiakini 
story-image

Hassan Abdul Karim memuji ketegasan Malaysia yang tidak mengiktiraf sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap penyaluran dana kepada Iran dan proksinya.

“Amerika Syarikat perlu hormat pendirian Malaysia ini,” kata anggota parlimen lantang Pakatan Harapan (PH) itu.

“Wakil AS yang datang ke negara ini jangan berlagak sombong untuk mengugut Malaysia dengan ancaman sekatan sepihak olehnya ke atas pihak-pihak di Malaysia.”

Semalam Setiausaha Rendah Perbendaharaan AS bagi Keganasan dan Risikan Kewangan AS Brian Nelson mengunjungi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkaitan isu pembiayaan keganasan.

Sebelum ini, agensi berita antarabangsa melaporkan, pegawai tertinggi sekatan Jabatan Perbendaharaan AS akan ke Singapura dan Malaysia dalam usaha menyekat penyaluran dana kepada Iran dan proksinya selain pengelakan sekatan terhadap Rusia.

Laporan itu mendakwa terdapat peningkatan dana dipindahkan ke Iran dan proksinya, termasuk kumpulan bersenjata Palestin Hamas, melalui sistem kewangan di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberikan komitmen itu tetapi berkata perlu mengesahkan terlebih dahulu maklumat sepihak daripada AS.

Dia juga berkata dasar Malaysia hanya mengiktiraf sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan bukan oleh mana-mana negara.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Hassan berkata pendirian berani yang dinyatakan Saifudin menjelaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang boleh dibuli oleh sebuah kuasa dunia.

“Pendirian yang diutarakan oleh Menteri Dalam Negeri Saifudin  Nasution dalam soal sepenting ini dalam hubungan bernegara adalah satu pendirian yang patriotik dan progresif melambangkan dasar dalam negeri dan luar negeri Malaysia yang bebas dan dinamik,” katanya.

Tiada ulasan: