"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Safiq Rahim jadi mangsa terbaharu insiden jenayah babitkan pemain bola sepak

Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
Cermin belakang kereta Honda City dipandu Safiq pecah. Foto IG sportsrevobysafiqrahim
Cermin belakang kereta Honda City dipandu Safiq pecah. Foto IG sportsrevobysafiqrahim
JOHOR BAHRU: Cermin kereta bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim, dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta'zim (JDT), di Sri Gelam, di sini, malam tadi, beberapa hari selepas nasib malang menimpa tonggak Selangor FC, Faisal Halim apabila disimbah asid di Kota Damansara.

Kejadian kira-kira jam 10.05 malam itu,

dikongsikan oleh Safiq menerusi akaun media sosial Instagram miliknya.

Dalam muat naik itu, beliau memaklumkan sudah membuat laporan polis selepas risau dengan keselamatan dirinya.

Beliau turut memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan itu.

Menerusi laporan polis dimuatnaik di akaun Instagramnya, Safiq melaporkan beliau ketika itu sedang memandu ke arah Pantai Lido, selepas mengambil barangnya di pusat latihan berkenaan kira-kira jam 10.05 malam.

"Ketika sedang memandu, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dibonceng dua lelaki sebelum pembonceng motosikal mengeluarkan sebatang tukul dan mengetuk bahagian cermin belakang kereta saya.

"Saya terkejut dan memberhentikan kereta sebelum dua lelaki itu berhenti di hadapan kereta saya.

"Dua lelaki itu kemudian menunjukkan tukul ke arah saya. Akibat risau, saya mengundurkan kereta dan beredar dari lokasi berkenaan," katanya dalam laporan berkenaan.

Insiden itu berlaku tiga hari selepas Faisal disimbah asid dan seorang lagi pemain, Akhyar Rashid pula disamun dan diserang, di kawasan kediamannya lebih kurang seminggu lalu.

Dalam pada itu, polis sedang giat mengesan suspek yang memecahkan

cermin kereta bekas ketua pasukan skuad kebangsaan itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata siasatan sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

"Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Polis sedang mengesan dan menangkap saspek terbabit. Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai," katanya dalam kenyataan ringkas tengah malam ini.

Tiada ulasan: