"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pulang guna aplikasi pandu arah hingga sesat tersesat di kawasan ladang getah dan kelapa sawit

Sesat 6 jam selepas guna aplikasi pandu arah

Bernama

Aplikasi dikatakan membawa lelaki pertama kali ke Sg Petani melalui laluan yang tidak diketahui sehingga tiba di kawasan ladang.
Seorang lelaki tersesat di kawasan ladang getah dan kelapa sawit, ketika hendak pulang selepas beraya. (Gambar Facebook)
SIK: Seorang lelaki tersesat selama enam jam di kawasan ladang getah dan kelapa sawit di Felda Teloi Kanan selepas menggunakan aplikasi pandu arah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sik, Zulkhairi Mat Tanjil, berkata lelaki berusia 32 tahun itu yang menunggang motosikal hendak pulang ke rumah abang di Sungai Petani selepas beraya di rumah rakan, juga terletak di bandar tersebut kira-kira 11 malam tadi.

“Bagaimanapun aplikasi tersebut membawa lelaki terbabit melalui laluan yang tidak diketahui sehingga tiba di Felda Teloi Kanan,” katanya.

Beliau berkata mangsa tiba di kawasan ladang getah dan kelapa sawit tersebut sekitar 1 pagi sebelum menemui jalan mati dan terpaksa berhenti untuk mencari liputan talian telefon yang terputus.

Mangsa kemudian berjaya mendapatkan liputan talian dan menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan kira-kira 7 pagi tadi.

Zulkhairi berkata ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan ketakutan, menggigil, dan sesak nafas. Tiada kecederaan pada badan mangsa.

Beliau berkata lelaki terbabit ditemui dalam kawasan tanah merah di ladang kelapa sawit, kira-kira 10km dari kawasan perumahan di situ.

“Ketika ditemui, motosikal dan pakaiannya dipenuhi selut merah…terdapat kesan gigitan serangga pada badannya. Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Felda Teloi Timur untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya lelaki yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu tinggal di Pulau Pinang dan pertama kali datang ke Sungai Petani.

Tiada ulasan: