"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bertengkar guna kata-kata kesat, lelaki maut dipukul rakan

Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
Mangsa disahkan meninggal dunia di hadapan sebuah restoran di Taman Scientex, kelmarin. - Foto tular
Mangsa disahkan meninggal dunia di hadapan sebuah restoran di Taman Scientex, kelmarin. - Foto tular
PASIR GUDANG: Seorang lelaki maut dipercayai akibat dipukul rakannya selepas berlaku perselisihan faham membabitkan kata-kata kesat, di hadapan sebuah restoran di Taman Scientex, di sini, kelmarin.

Terdahulu dalam kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa berusia 33 tahun dikatakan bertengkar dengan rakan berumur 29 tahun mengenai perkara peribadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Sohaimi Ishak, berkata pertengkaran itu bagaimanapun dipercayai semakin serius apabila kedua-duanya saling melemparkan kata-kata kesat.

"Pergaduhan yang pada mula hanya membabitkan kata-kata itu bertukar ganas apabila rakan mangsa didakwa tiba-tiba memukulnya.

"Mangsa dipercayai dipukul dengan topi keledar sebelum hilang imbangan dan pengsan di hadapan restoran berkenaan. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian susulan aduan orang awam di situ.

"Bagaimanapun, senjata sebenar yang digunakan untuk memukul mangsa masih dalam siasatan. Kita sedang menunggu laporan analisis bedah siasat yang dilakukan, semalam" katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Sohaimi berkata, polis berjaya mengesan suspek di rumah sewanya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian, sejurus selepas insiden berkenaan.

Beliau berkata, suspek kini direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Berdasarkan hasil siasatan awal, suspek didapati mempunyai enam rekod kesalahan lampau membabitkan dadah dan jenayah," katanya.

Tiada ulasan: