"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Daftar anak angkat sebagai anak kandung, lelaki didenda RM2,500

UtusanTV

Auzaee Athallah

Tertuduh, Lee Swee Theng, 59 ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu ketika mendaftarkan sijil kelahiran anak angkatnya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), 17 tahun lalu. GAMBAR: Auzaee Athallah
SEORANG lelaki didenda sebanyak RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu ketika mendaftarkan sijil kelahiran anak angkatnya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), 17 tahun lalu.

Majistret Illi Marisqa Khalizan memutuskan demikian selepas tertuduh, Lee Swee Theng, 59, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Beliau turut mengarahkan agar tertuduh dipenjarakan selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Swee Theng didakwa telah dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu iaitu mengisi ruangan pertalian sebagai bapa bagi pendaftaran kelahiran anak angkat lelakinya itu di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara Kuala Lumpur sekitar jam 11.36 pagi pada 26 Disember 2007.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ernie Ahmad yang mewakili tertuduh memohon agar tertuduh tidak dikenakan hukuman penjara, sebaliknya sekadar hukuman denda yang minima.

“Tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan sebanyak RM500 sebulan dan merupakan penanggung tunggal keluarga. Isteri tertuduh mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan insulin dan dialisis.

“Tertuduh amat kesal dengan apa yang telah berlaku pada 2007 dan memohon maaf atas kekhilafan yang dilakukan. Mohon agar tertuduh tidak dikenakan hukuman penjara tetapi hukuman denda minima sahaja,”

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN Perak Mohamad Salleh Jaafar Sidek memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

“Tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang serius dengan memalsukan dokumen. Ia juga melibatkan isu mendapatkan kewarganegaraan. Dalam hal ini faktor keselamatan negara, isu kewarganegaraan dan kepentingan awam serta kesahihan rekod harus diambil kira.

“Oleh itu pendakwaan mencadangkan hukuman setimpal supaya beri pengajaran kepda okt dan orang awam di luar sana agar tidak mengulangis kesalahan sama,” hujahnya.

Mengikut fakta kes, ketika hari kejadian 17 tahun lalu, tertuduh telah hadir ke kaunter JPN Kuala Lumpur untuk mendaftarkan sijil kelahiran anak dengan mengemukakan MyKad tertuduh dan isteri, sijil perkahwinan dan surat pengesahan kelahiran sebagai dokumen sokongan.

Permohonan tersebut kemudian diterima oleh pihak kaunter untuk diproses dan telah dikeluarkan sijil kelahiran atas nama kanak-kanak berkenaan.

Kemudian pada 9 Disember 2019, tertuduh telah hadir bersama seorang kanak-kanak lelaki untuk memohon kad pengenalan kali pertama 12 tahun di Jabatan Pendaftaran Negara daerah Kampar, Perak.

Bagaimanapun semasa permohonan kad pengenalan diproses, semakan pegawai kaunter mendapati perbezaan warna kulit yang ketara di antara mereka berdua.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah berkahwin dengan isterinya sejak tahun 2001 namun tidak mempunyai anak. Tertuduh mengaku bahawa kanak-kanak berkenaan bukanlah anak kandungnya bersama isteri.

Tertuduh turut mengaku pengambilan kanak-kanak berkenaan diuruskan oleh seorang wanita yang hanya dikenali dengan panggilan ‘Ah Song’.

Tertuduh telah menjaga kanak-kanak itu sejak lahir sehingga kini.

Walaubagaimanapun, pada hari kejadian tertuduh telah hadir untuk mendaftarkan kelahiran kanak-kanak itu dan telah mengisi ruangan pertalian sebagai bapa dalam Borang Daftar Kelahiran dengan niat untuk menipu pihak kaunter JPN Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: