"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MCA tak takut gerak solo jika Umno tetap mahu ‘cium mulut’ DAP

Nora Mahpar

Wee Ka Siong berkata kenyataan Zahid Hamidi mahu kerjasama BN-PH diteruskan selepas PRU16 tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat BN.
PETALING JAYA: MCA memberi amaran kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi supaya tidak membuat keputusan bersendirian mengenai rakan kerjasama gabungan itu menjelang PRU16.

Presiden Wee Ka Siong berkata banyak keputusan yang dibuat presiden Umno sebelum ini bersifat ‘unilateral’ atau sebelah pihak, termasuk kenyataan Zahid yang mahu kerjasama BN-PH diteruskan selepas PRU16.

Beliau mengingatkan Zahid bahawa BN masih ada MCA dan MIC, maka sebarang keputusan perlu dibuat secara bersama.

“Saya tergamam bila presiden (Umno) kata kita akan teruskan kerjasama (dengan PH) selepas PRU16, kerana kita tidak pernah bincangkan di dalam mesyuarat BN.

“Sejak bila ketetapan ini? Belum ada, tak pernah dibincangkan pun dan bagi saya ia hanya cadangan presiden Umno,” katanya dalam siri audio siar Keluar Sekejap dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Wee berkata jika Umno berdegil untuk tetap ‘cium mulut’ bersama DAP pada PRU16, partinya tidak akan teragak-agak bergerak solo pada PRU16.

“Kalau sebarang keputusan dibuat secara unilateral (sebelah pihak) MCA akan berkecuali,” katanya.

“Kalau sesama kita ada parti komponen dah lari nak memeluk orang lain ke apa bermaksud MCA akan kekal sebagai parti walaupun ditakdirkan berpisah dah tak boleh buat apa sebab kawan kita dah tak setia dengan BN,” katanya.

Wee menegaskan beliau tidak akan membiarkan MCA menjadi ‘bidak catur’ pihak lain.

“MCA tidak boleh diperkotak-katikkan sebagai bidak-bidak catur mana-mana pihak… yang saya inginkan ialah kesetiaan kepada parti keramat kita BN.

“Saya lihat sekarang… orang dah peluk pihak satu lagi. Bagi saya, ia seolah-olah kita utamakan orang lain. Kita duduk dalam satu keluarga, kemudian jiran kita yang dulunya maki hamun kita sekarang mengintai… dan kita dalam satu keluarga sebenarnya patut bincang, apa pendirian kita, keluarga kita macam mana.”

Tiada ulasan: