"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua pertubuhan haram 'Ayahanda' ditahan

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
POLIS menahan 14 lelaki dipercayai ahli pertubuhan haram menerusi Ops Cantas di Inanam. FOTO ihsan polis
POLIS menahan 14 lelaki dipercayai ahli pertubuhan haram menerusi Ops Cantas di Inanam. FOTO ihsan polis
Kota Kinabalu: Ketua sebuah pertubuhan haram bergelar 'Ayahanda' antara 14 ditahan dalam Ops Cantas (Gengsterism) di kawasan gerai menjual burger di Inanam Point, Jalan Tuaran, di sini, Rabu lalu.

Semua lelaki berusia 22 hingga 49 tahun ditahan sepasukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan dibantu anggota Balai Polis Inanam, jam 10.10 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, pemeriksaan mendapati suspek mendakwa mereka ahli Pertubuhan Amal Nusantara Bersatu Sabah (ANB).

"Semakan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mendapati logo yang digunakan oleh pertubuhan itu adalah tidak berdaftar.

"Selain itu, ada unsur-unsur kumpulan Double 7 yang diwartakan sebagai pertubuhan haram pada 2013," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, operasi itu juga turut menahan seorang lelaki yang dipercayai sebagai ketua pertubuhan ANB Bersatu di Sabah dengan gelaran 'Ayah Abu Nilam Bersatu'.

"Dalam serbuan itu, sepucuk senjata api mainan menyerupai pistol C15, sebilah pisau pemotong daging berserta sarung dan sebilah samurai turut dirampas.

"Selain itu, rampasan membabitkan 20 keping pelekat tertera logo kumpulan, kad ahli, 12 telefon bimbit dan empat kereta pelbagai jenis tertera pelekat pertubuhan ANB dan kumpulan Double 7," katanya.

Menurutnya, siasatan juga mendapati pertubuhan itu mempunyai 100 ahli di sekitar bandar raya ini, Kota Belud, Ranau, Semporna dan Sandakan.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 50 Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Tiada ulasan: