"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi sesuai semua suasana

Hishamuddin Aun

Bergantung pada baju dipakainya, isi ucapannya berbeza-beza di antara pengarah pilihan raya PN dan menteri besar Kedah.

Akhirnya kedua-duanya bertentang mata juga. Dalam suasana masih dalam bulan Syawal, Sanusi Nor memanfaatkan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri Kedah di Jitra pada Sabtu untuk memohon maaf kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas keterlanjuran kata-kata atau lebih tepat lagi maki-hamunnya pada masa lalu.

Apabila ia membabitkan Sanusi, ia bukan keterlanjuran melainkan serangan yang disusun sedemikian rupa sesuai dengan khalayak di depannya.

Tapi suasana pada Sabtu bukan di pentas ceramah politik. Ia satu majlis keramaian hari raya yang menuntutnya lebih beradab dan berbahasa.

Yang diraikannya pula adalah tetamu termasuk timbalan perdana menteri dan beberapa menteri Kabinet dengan menyasarkan projek untuk kemajuan negeri, tidak terkecuali di bawah kementerian kemajuan desa dan wilayah yang diketuai Zahid Hamidi yang diharap mendapat pertimbangan sewajarnya.

Lantas, ucapan Sanusi lebih beradun tanpa sesekali melencong daripada teks yang disediakan untuk dibacanya.

Begitupun, apabila dikritik warganet atas ‘perubahan’ ditunjukkannya, Sanusi mengakui kecewa. Media sosial memuatkan komen-komen sinis yang mempersendakannya.

Tidak ketinggalan ada yang melukis karikatur beliau tunduk memohon maaf kepada Anwar bersama dialog “Mohon maaf ler, mulut saya memang kurang ajaq, Kelantan dah dapat (peruntukan), Kedah bila lagi?”

Dalam satu majlis keesokannya, menteri besar menjelaskan permohonan maaf yang dibuatnya itu adalah ikhlas dan bukan lakonan. Tidak diketahui pula dari mana datangnya dakwaan ia hanya lakonan.

Namun, sama ada Sanusi benar-benar ikhlas – bermaksud beliau menyesalinya dan tidak akan ulangi perbuatan itu – hanya masa dan keadaan akan mengukurnya.

Sebenarnya ‘perubahan’ pada diri Sanusi sudah pun dibayangkan lebih awal. Dalam sidang media selepas persidangan DUN Kedah pada 7 Mac, menteri besar merakamkan ucapan terima kasih kepada perdana menteri kerana membuka ruang kepada perbincangan berkaitan projek pembangunan di Kedah.

Belum pernah terdengar sebelum ini beliau berterima kasih. Menganggap Anwar telah mula “berlembut”, Sanusi teruja dengan sokongan kerajaan persekutuan terhadap pembangunan Pelabuhan Laut Dalam Sanglang dan pembangunan Kedah Aerotropolis.

“Alhamdulillah, saya ucap terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana telah mula berlembut dan membuka pintu kepada sebarang perundingan berkaitan dengan projek-projek ekonomi,” katanya pada sidang media ketika itu.

Kita tidak tidak perlu diingatkan bahawa kedua-dua Sanusi dan Anwar mempunyai sejarah perang mulut yang panjang – dari sebelum PRU15 lagi yang didahului kemuncaknya dalam PRN enam negeri pada 12 Ogos 2023. Ia berlanjutan ke PRK Pulai/Simpang Jeram pada 9 Sept 2023, PRK Pelangai pada 7 Okt 2023 dan PRK Kemaman pada 2 Dis 2023. Malah, Anwar pernah menyaman Sanusi pada 13 Dis 2022 berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah Jelajah PN Best Tambun.

Boleh andaikan apa yang dirasakan oleh Sanusi terhadap Anwar sama dengan apa yang perdana menteri pendam terhadap menteri besar Kedah itu.

Pernah dalam satu sidang Dewan Rakyat pada 6 Jun 2023, Anwar menyentuh persoalan adab untuk menerangkan mengapa beliau tidak bertemu Sanusi berbanding dengan menteri besar negeri lain yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).

Sepanjang enam bulan di Putrajaya, kata perdana menteri, sudah empat kali pertemuan diadakan dengan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar pada waktu itu.

Kemudian, dalam Ceramah Mega Madani di Sungai Ara, Bayan Lepas pada 5 Ogos 2023, Anwar mengulangi jika menteri besar Kedah itu menulis sehingga 30 surat kepadanya sekalipun untuk meminta pertemuan, beliau tidak akan melayaninya atas sebab sama.

“Dia mengutus tiga surat. Jika dia tulis 30 surat sekalipun, saya tidak peduli kerana dia tidak tahu adab dan gemar menghina orang,” kata Anwar sambil menambah bahawa beliau akan memberi respons dengan cara baik jika beliau sendiri disantuni dengan cara sama. “Jika kamu bercakap dengan beradab, saya juga akan menjawab dengan beradab.”

Anwar yang sering didakwa “buka mulut, mohong… buka mulut, mohong” oleh Sanusi dalam siri ceramahnya, dihadapinya secara bersemuka dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 yang dihadiri menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri di Putrajaya, 4 Apr lalu.

Daripada rakaman video mesyuarat itu di Facebook, tidak banyak interaksi di antara kedua-duanya ditunjukkan di sebalik Sanusi, yang lengkap berbaju kot sedangkan hampir keseluruhan yang lain berbaju batik sesuai dengan hari Khamis, seakan-akan terharap-harap.

Dirakamkan bergelak ketawa dengan ketua menteri dan menteri besar, Sanusi dan Anwar pula tidak lebih daripada bersifat sivil. Mungkin tidak silap untuk membaca bahasa tubuh perdana menteri ketika itu sebagai enggan menimbulkan apa-apa “adegan”.

Mungkin itu juga yang mendorong ‘perubahan’ Sanusi hingga membawa kepada permohonan maafnya bagi ucapannya yang kurang sesuai selama berkhidmat sebagai menteri besar kedah dan atas kapasiti politik pada Sabtu.

“Sebagai insan yang lemah, keterlanjuran dan kesilapan pastinya ada dalam diri kita masing-masing. Semoga pertemuan dalam bulan Syawal yang mulia ini akan menjadi asbab untuk kita mulakan lembaran baharu serta sama-sama melangkah dengan hati yang bersih, ikhlas dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Jitra.

Anwar pada awal dan penghujung ucapannya memberi reaksi: “Kepada Datuk Seri Sanusi, jarang saya nak terima kasih kat dia ni. Tapi hari ini saya terima kasih kerana disambut dengan baik dengan pasukan exco dan pegawai-pegawai kanan Kedah. Sebab itu saya kata Datuk Sanusi, saya ni mudah. Cakap elok-elok selesai semua.”

Benarlah Sanusi seorang yang sesuai untuk semua suasana. Seperti diakuinya, semuanya bergantung kepada baju yang dipakainya ketika itu untuk apa saja yang dihamburkannya tidak disalahertikan di luar konteks.

Ukuran lanjut ke atasnya ialah di pentas-pentas ceramah selaku ketua pengarah pilihan raya PN selepas ini sama ada beliau mampu mengekalkan diplomasinya terhadap Anwar.

Hanya Rabu lalu, dalam ceramahnya ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu, Sanusi menyerlahkan sisi berbezanya dengan berkata: “Janganlah pulak bila kita ceramah, ini nak hentam kerajaan. Bukan. Kita nak hentam Pakatan Harapan. Bukan saya nak hentam kerajaan persekutuan. Dak.

“Pasai malam ni saya pakai baju Perikatan Nasional, bukan menteri besar kedah. Depa ni tak tau beza, walanon ni bodoh. Dia kata satu masa minta bantuan kerajaan persekutuan, mai di Selangor hentam (kerajaan) persekutuan.

“Saya mai ceramah (sebagai) pengarah pilihan raya. Dalam pilihan raya, saya dibenarkan ceramah, tak kan tak boleh. Malam ini ceramah politik. Ceramah politik ni hanya akan bercakap dalam konteks pilihan raya yang sedang kita lalui. Esok saya masuk tempat saya kerja, saya cakaplah sebagai menteri besar. Masa tu hangpa tak dengar pun.”

Ia tentunya amat menarik untuk diikuti dan diperhatikan jika Sanusi tidak lagi akan mengulangi serangannya terhadap Anwar selepas ini. Di tengah sorak-sorai yang diselangi takbir daripada khalayak yang akan mengapi-apikannya di atas pentas ceramah, harus tiada sesiapa boleh berasa pasti.

Tiada ulasan: