"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

6 pegawai kanan dan anggota polis ditahan semula mengikut SOSMA

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Enam pegawai kanan dan anggota polis yang ditahan kerana disyaki melakukan pemerasan sebanyak RM1.25 juta, ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semua individu terbabit ditahan reman mengikut Seksyen 4(5) SOSMA 2012 bermula semalam bagi tempoh 28 hari sehingga 5 Jun ini.

Beliau berkata, seorang lagi pegawai kanan polis berpangkat Inspektor juga ditahan selepas menyerah diri, semalam.

"Individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 4(1) SOSMA 2012 dan reman ke atas suspek dibuat hari ini," katanya.

Katanya, hasil daripada risikan dan siasatan yang dijalankan sepanjang tempoh ini mendapati kumpulan ini bertindak secara bersama untuk melakukan jenayah kesalahan serius dengan tujuan untuk mendapatkan faedah material.

"Pengumpulan maklumat yang dijalankan juga mendapati kumpulan ini memenuhi elemen-elemen yang ditakrifkan di bawah Seksyen 130U Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 3 Mei lalu, Razarudin memaklumkan tiga pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Deputi Superintendan (DSP) dan Inspektor daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini bagi membantu siasatan kes pemerasan itu, susulan laporan polis yang dibuat malam sebelumnya.

Dua lagi yang ditahan, masing-masing seorang Inspektor dan Sarjan. Susulan penahanan kelima-lima individu terbabit polis kemudian menahan seorang lagi Lans Koperal yang berkhidmat di jabatan yang sama.

Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: