"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Malaysia beruntung ada ‘harta karun’ bernilai trilion ringgit dakwa Indonesia

SITI NUR ZAWANI

Malaysia terus dicemburui negara-negara jiran terutama Indonesia yang acap kali membuat liputan mengenai prestasi negara ini menarik pelabur asing.

Malaysia kini dilihat sebagai ‘harta karun’ dalam dunia teknologi selepas berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi terbesar dunia untuk membina pusat data dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Media di Indonesia melaporkan, Malaysia terutama di kawasan Johor sedang menerima perhatian besar daripada pelabur asing dalam sektor pusat data.

Faktor yang menjadikan Johor menarik adalah kerana lokasinya yang berdekatan dengan sempadan Singapura, yang mempunyai salah satu jalur kabel internet bawah laut paling sibuk di dunia.

Menurut Rangu Salgame, Ketua Pegawai Eksekutif Princeton Digital Group, pembangunan fasiliti di Johor bukan sahaja untuk memenuhi keperluan Malaysia, namun ia juga untuk menyokong AI di peringkat global.

Untuk rekod, ByteDance melabur di Malaysia sebanyak AS$350 juta (kira-kira RM1.5 bilion).

Microsoft juga dilapor membuat pelaburan apabila membeli tanah seluas 49 hektar dengan nilai AS$ 95 juta (kira-kira RM408 juta).

Google melabur sebanyak AS$2 bilion (kira-kira RM8.6 bilion) pada Jun lalu untuk membina pusat data dan wilayah awan (cloud) yang pertama di Malaysia.

Terkini, Blackstone melabur AS$16 bilion (kira-kira RM43 bilion) untuk membeli operator pusat data AirTrunk, yang salah satu lokasinya terletak di Johor.

Selain itu, Oracle mengumumkan pelaburan sebanyak AS$6.5 bilion (kira-kira RM27 bilion) dalam sektor pusat data di Malaysia, walaupun lokasi spesifiknya masih belum diumumkan.

Secara keseluruhan, pelaburan dalam pusat data di Johor yang boleh digunakan untuk AI dan komputasi awan dijangka mencecah AS$ 3.8 bilion (kira-kira RM16 bilion) tahun ini, menurut laporan media tempatan.

Menariknya, tiga tahun lalu Johor merupakan kawasan yang digunakan untuk industri kelapa sawit.

Kini, kerajaan Malaysia memfokuskan Johor sebagai hab pusat data AI untuk menampung permintaan yang semakin meningkat bagi penyimpanan, pengurusan dan latihan sistem AI.

Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan China, yang mengurangkan risiko politik bagi syarikat-syarikat yang ingin melabur di negara ini.

Tiada ulasan: