"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua faktor boleh lebur hasrat PN tawan Melaka

Yasmin Abdul Latif

Minggu lalu Hamzah Zainudin melahirkan keyakinan PN mampu menang besar pada PRN Melaka sekali gus merampas pentadbiran negeri itu.
PETALING JAYA: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) serta ‘trend’ undi Melayu yang didakwa terus kembali kepada Umno, antara dua faktor boleh menghalang hasrat Perikatan Nasional (PN) menguasai Melaka, kata penganalisis.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, keyakinan disuarakan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin untuk menawan negeri itu pada PRN akan datang mungkin bertitik tolak kejayaan menang tiga kerusi pada PRU15.

Walaupun kalah teruk pada PRN Melaka 2021 apabila hanya menang dua daripada 28 kawasan DUN, namun PN bangkit menguasai kerusi Parlimen Tangga Batu, Masjid Tanah dan Jasin pada PRU setahun selepas itu.

“Namun, itu tidak menggambarkan situasi semasa dengan landskap politik kini menyaksikan BN-PH bekerjasama, peluang Bersatu dan PN menawan Melaka mungkin rendah.

Tambahan pula Umno semakin dapat sokongan pengundi Melayu manakala kita lihat PN mengalami kekalahan pada beberapa PRK kebelakangan ini (terbaru PRK Mahkota), kata Lau kepada FMT.

Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu dalam satu majlis di Melaka minggu lalu melahirkan keyakinan PN mampu menang besar pada PRN, menggantikan pentadbiran sedia ada.

PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya pada penghujung 2026 selepas penggal pentadbiran kini yang dipegang BN tamat.

Pada PRN Melaka 2021 BN menang 21 daripada 28 kerusi namun gagal menawan sebarang kerusi pada PRU15. PH pula menguasai lima kerusi DUN dan tiga Parlimen iaitu Alor Gajah, Hang Tuah Jaya serta Kota Melaka.

Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata isu nasional dimainkan PN seperti sentimen Melayu-Islam, kos sara hidup, inflasi, dan imej kerajaan PH-BN, mungkin boleh mempengaruhi undi pada PRN akan datang.

Namun, katanya kekuatan jentera BN di Melaka masih dominan terutama kemampuan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh menguruskan politik Umno-BN di negeri itu.

Jika sekali pun Bersatu umum calon ketua menteri lebih awal bagi membina momentum politik, belum tentu ada kesan jika orang itu kurang popular berbanding Rauf, katanya.

Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula berpandangan Bersatu dan PN perlu membawa isu dapat menonjolkan kelemahan kerajaan sedia ada jika mahu menang tanpa terlalu bergantung pengaruh tokoh politik mereka.

Orang mungkin makin menyampah dengan politik sebenarnya, kalau isu dibawa jelas dan teratur untuk difahami rakyat…maka boleh menang Melaka, katanya.

Tiada ulasan: