"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes acu pistol: Polis tahan dua lelaki, seorang wanita

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Serdang: Dua lelaki dan seorang wanita ditahan semalam kerana disyaki mengacukan objek berbentuk pistol dalam insiden perselisihan faham di sebuah medan selera di sekitar Puchong, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.

Menurutnya, kejadian itu turut tular di media sosial selepas satu klip video berdurasi 26 saat memaparkan insiden berkenaan dimuat naik di media sosial.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 13 Oktober, jam 10 malam, semasa mangsa berada di sebuah medan selera di sekitar Puchong. Dia menegur suspek supaya tidak merokok di kawasan itu.

"Kemudian berlaku pertelingkahan antara mangsa dan lelaki terbabit lalu suspek tiba-tiba mengacukan suatu objek menyerupai pistol ke arah perut pengadu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudiannya beredar pergi dari lokasi kejadian lalu mangsa tampil membuat laporan semalam untuk keselamatan diri dan keluarganya.

Katanya, bertindak atas maklumat, dua lelaki tempatan dan seorang wanita berstatus pemastautin tetap ditahan bagi membantu siasatan.

"Semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod dadah dan dua lagi suspek, tiada sebarang rekod lampau.

"Pihak polis turut merampas objek menyerupai sepucuk pistol berwarna hitam bersama satu kelopak dan dua butir peluru manik (bebola putih)," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Tiada ulasan: