"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kanak-kanak 10 tahun boleh dipenjara

KOSMO

CANBERRA – Pihak berkuasa Wilayah Utara (NT) Australia menurunkan had umur hukuman penjara seawal 10 tahun sekali gus bakal menyaksikan kanak-kanak seusia itu dijel, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC). 

Beberapa negeri dan wilayah mengalami tekanan untuk menaikkan had umur daripada 10 kepada 14 tahun, sejajar dengan negara maju lain serta nasihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Namun, NT Australia menjadi bidang kuasa pertama yang meletakkan had umur 12 tahun pada tahun lepas.

Bagaimanapun, kerajaan baharu Parti Liberal Negara (CLP) yang dilantik pada Ogos lalu berkata, penurunan (had umur) adalah perlu bagi mengurangkan kadar jenayah dalam kalangan remaja.

Ia berhujah bahawa menurunkan had umur kepada 10 tahun akan melindungi kanak-kanak meskipun ia dipertikaikan oleh para doktor, organisasi hak asasi manusia dan kumpulan-kumpulan penduduk pribumi. 

NT telah memenjarakan kanak-kanak pada kadar 11 kali ganda lebih tinggi daripada mana-mana bidang kuasa lain dan hampir kesemuanya adalah daripada suku kaum pribumi.

Beberapa kawasan di seluruh Australia mengisytiharkan mereka berada dalam cengkaman krisis jenayah remaja, manakala siri insiden keganasan tahun ini telah mendorong beberapa siri perintah berkurung belia di bandar Alice Springs di NT.

Ketua Menteri NT, Lia Finocchiaro berkata, kerajaan telah diberi mandat selepas kemenangan besar dalam pilihan raya dan perubahan itu membolehkan mahkamah meletakkan pesalah juvana melalui program yang direka khas untuk menangani punca perbuatan jenayah mereka. – AGENSI

Tiada ulasan: