"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM geledah 2 ‘safe house’ lagi, temui wang tunai RM321,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai, termasuk mata wang asing berjumlah RM321,000 ketika menggeledah dua lagi safe house di sekitar ibu negara, selepas serbuan pertama di sebuah pangsapuri didakwa milik seorang ahli politik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, pihaknya menemui SGD74,000 atau RM243,000 di sebuah rumah, manakala satu lagi lokasi menjumpai wang tunai kira-kira RM78,000.

“Ya, (rumah itu) ada di Kuala Lumpur, ada di sekitar Selangor. Penggeledahan pertama dibuat pada Sabtu malam dan seterusnya malam tadi, kita buat satu persatu selepas siasatan dan pengakuan.

Kita juga mendapat maklumat ada wang telah dibuat pelaburan di Singapura, namun saya tidak boleh dedahkan berapa jumlahnya dan siapa pemiliknya, katanya menurut Sinar Harian selepas Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah 2024 di Kota Kinabalu.

Semalam, SPRM dilaporkan menemui wang tunai berjumlah SGD1,529,000 atau RM5 juta di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur pada malam Sabtu, dipercayai lokasi menyimpan hasil suapan.

Menurut sumber, serbuan itu hasil penahanan seorang suspek yang mendedahkan wujud safe house untuk menyimpan wang rasuah seorang ahli politik berpengaruh. Katanya, premis terbabit disewa seorang ahli perniagaan.

Azam tidak menolak kemungkinan SPRM akan melakukan penggeledahan lain selepas ini.

“Rasanya akan ada lagi penemuan di ‘safe house’ lain, yang ini kita masih menjalankan siasatan dan risikan terhadap penyimpanan wang ini.

Mungkin ada dibuat penyimpanan di bank-bank lain, yang ini sedang kita siasat.

Tiada ulasan: