"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pukul, ugut bunuh ibu, lelaki mengaku tak salah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka atas pertuduhan memukul kepala dan mengugut bunuh ibu kandungnya berusia 75 tahun, pada September.

Tertuduh, Tai Siew Wong, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleimen.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibunya, Bong Ngik Lan, dengan cara memukul belakang kepala wanita itu sebanyak dua kali menggunakan tangan.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda sehingga RM2,000, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama dengan cara mengeluarkan ugutan satu hari mesti saya bunuh awak mati, lapor Sinar Harian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Rumah Awam Bertam Ulu, Melaka, kira-kira 4.30 petang, 26 Sept.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam, Nigel Tai yang mewakili tertuduh merayu tertuduh dikenakan denda rendah kerana dia hanya memperolehi pendapatan RM1,800 sebulan dengan bekerja sebagai penghantar barang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali dengan sebutan semula kes pada 28 Nov.

Tiada ulasan: